PESERTA ceria dalam sesi pembelajaran ‘Drum Circle’.
PESERTA ceria dalam sesi pembelajaran ‘Drum Circle’.
BELAJAR pimpin ahli kumpulan.
BELAJAR pimpin ahli kumpulan.
Nurul Husna Mahmud

Terapi menerusi seni bermula sejak Perang Dunia Kedua apabila artis British, Adrian Hill bersama temannya Edward Adamson menggunakan pendekatan berkenaan di hospital mental ketika itu.

Justeru, memberi gambaran pendekatan ini tidak asing sebagai terapi membabitkan kumpulan berdepan masalah untuk mengekspresi perasaan serta buah fikiran mereka.

Atas kesedaran itu wakil Persatuan Ekspresif Terapi Malaysia (Malaysian Expressive Therapy Association) Jamaida Jamaludin menganjurkan Bengkel ‘Drum Circle’ dibantu The Colours of Sound bagi mengetengahkan muzik sebagai terapi kepada anggota komunitinya.

Skil penting bagi kaunselor

Kata Jamaida, aktiviti Drum Circle dilihat cabang skil membabitkan terapi seni membantu pengamal terapi mahupun kaunselor menggunakan pendekatan itu apabila berdepan kliennya terutama kanak-kanak.

“Untuk komuniti pengamal ini ia jadi kelebihan andai mereka menambah cabang mahupun kaedah baru membabitkan terapi seni. Kalau di luar negara kaedah ini sering dan popular apabila membabitkan mangsa trauma dan kanak-kanak.

“Malah bagi pengamal, sepanjang berada dalam bengkel kami juga belajar aspek lain termasuk cara memimpin kumpulan serta komunikasi tepat serta memberi arahan jelas supaya menghasilkan irama harmoni mahupun tenang.

“Pengalaman saya sendiri dalam bengkel ini, saya rasa memukul alat genderang dapat meregangkan kenangan selain menyeronokkan,” katanya.

Malah Jamaida berkata, pihaknya mendapat permintaan agar bengkel berkenaan dianjurkan lagi pada masa hadapan.

Luahan tanpa suara

Buat peserta dari Sarawak, Munirah Merikan, bengkel ini membantu dia berkomunikasi dengan kumpulan sasaran dengan santai.

“Dengan muzik sebagai contoh ‘Drum Circle’ kita dapat bergaul mesra tanpa perlu memikirkan ayat pertama mahupun menarik perhatian mereka.

“Biasanya apabila kita beri alat muzik dan mereka mula bermain, kita sudah tahu ‘mood’ individu. Pada sudut lain personaliti individu menonjol kerana platform ini membantu mereka lebih terbuka.

“Malah saya juga mempunyai latar belakang pendidikan sering menggunakan muzik seperti nyanyian dalam membantu menarik perhatian pelajar supaya lebih fokus terhadap pengajaran,”katanya.

Pertingkat kemahiran komunikasi

Pengasas The Colours of Sound, Haiqal Hermanshah Rahman berkata, dia melihat muzik memberi kedamaian terutama meredakan tekanan.

“Saya terbabit dalam aktiviti ‘Drum Circle’ lebih sembilan tahun. Sebenarnya, apa yang saya lakukan dalam bengkel ini berkongsi pengalaman mengenai muzik yang boleh menjadi medium merapatkan hubungan sosial mahupun merawat diri.

“Setelah penat bekerja, apabila dapat bermain dram mahupun memukul gendang lalu menghasilkan irama harmoni, ia memberi kepuasan. Malah satu lagi saya belajar daripada pembabitan ‘drum circle’ betapa kerjasama serta prihatin membentuk kolaborasi lancar.

“Saya belajar perlu memerhati ahli kumpulan dram ini dan mengenai bahasa tubuh mahupun arahan lisan berkesan,” katanya.

Bina persekitaran positif

Rakan Haiqal, Adi Iskandar Iliyas berkata, pembabitannya sebagai sebahagian daripada kru The Colours of Sound membantu rakannya memperkembangkan aktiviti ‘Drum Circle’ agar dilihat popular di Malaysia.

“Drumline bukan sekadar permainan muzik semata-mata, sebaliknya ia dapat membina persekitaran positif dalam kalangan penggiatnya. Saya sendiri, apabila memukul dram dalam kumpulan ini, segala kerunsingan ketika bekerja baik masalah keluarga hilang serta-merta.

“Meningkatkan fokus dan pemikiran saya menjadi lebih tenang. Selain itu apabila dijadikan aktiviti beramai -ramai, keyakinan kita bertambah. Atas sebab itu saya dan Haiqal berharap ‘Drum Circle’ dapat berkembang ke seluruh pelosok negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:02 AM