AKTIF memberi ceramah dan taklimat berkaitan penyusuan susu ibu.
AKTIF memberi ceramah dan taklimat berkaitan penyusuan susu ibu.
Nurul Husna Mahmud


RAMAI yang kurang tahu adanya kerjaya sambilan yang luhur iaitu pembimbing penyusuan dalam membantu golongan ibu komited membekalkan susu badan kepada anaknya.

Tugas sebagai pembimbing penyusuan dipikul Nor Azura Mohd Puad, 31, sejak 2018 apabila berjaya menamatkan Kursus Pembimbing Penyusuan meskipun ketika itu beliau sarat mengandung anak ketiga.

Kesedaran memikul tugas itu juga pada awalnya tercetus apabila timbul perasaan 'sangsi' terhadap khasiat susu badan.

"Saya tiada latar belakang perbidanan dan mula terdorong lebih serius dengan menjadi pembimbing susu bertitik mula dengan skeptikal saya terhadap tahap kebersihan susu ibu itu sendiri.

"Mungkin usia saya mentah iaitu 21 tahun ketika itu, berasa menyusukan bayi dengan susu badan adalah perbuatan kolot.

"Saya berpandangan susu formula lebih baik kerana ramuan dan cara pengendalian menggunakan ramuan terbaik untuk bayi.

"Mujur suami, jururawat dan ibu yang menjaga saya bijak memainkan peranan memujuk supaya saya menyusukan bayi saya dengan susu badan sehingga tidak sempat menggunakan susu formula," katanya.

Cabaran menjadi ibu muda juga membuatkan Nor Azura memiliki ruang lingkup terhad berkongsi perihal susu badan bersama rakan sebaya.

"Rasa tidak puas hati kerana terpaksa menyusukan anak dengan susu badan membuatkan saya 'lincah' di internet.

NOR Azura mendapat sokongan padu suami.
NOR Azura mendapat sokongan padu suami.

"Ketika itu saya sedar susah jumpa artikel dalam bahasa Melayu dan kebanyakannya lebih kepada cerita menjual dan promosi di hujung entri.

"Saya terpaksa baca artikel dari luar dan perasaan ketika itu alangkah baik jika ada individu boleh kongsi maklumat penyusuan dalam bahasa Melayu, pendekatan lebih ringkas dan mudah difahami membantu lebih ramai ibu bapa mendapat kebaikan.

"Lepas berapa ketika baru saya jumpa kumpulan ibu menyusu di Facebook. Setiap kali terbaca info baharu di ruangan komen, cepat-cepat saya gunakan internet dan buat bacaan untuk pastikan kesahihannya.

"Dalam proses itu saya mengetahui kewujudan peranan pembimbing penyusuan yang membimbing ibu menyusu. Saya rasa ia tugas yang menarik sehingga memilih untuk serius dalam tugas membimbing terbabit," katanya.

NOR Azura komited mengikuti kursus menjadi pembimbing penyusuan.
NOR Azura komited mengikuti kursus menjadi pembimbing penyusuan.

Menyentuh pencapaian dan kenangan mengusik jiwa sepanjang menjadi pembimbing penyusuan secara profesional kata Nor Azura, pengalaman menyantuni ibu yang kental memberi keinsafan mendalam mengenai nilai susu ibu kepada bayi mereka begitu bermakna buatnya.

"Pengalaman dengan pelbagai ragam dan senario bersama golongan ibu mendatangkan kesedaran kepada saya. Antaranya ketika menyantuni seorang ibu yang mengenakan beg stoma untuk membantunya menyusukan bayi dengan selesa antara pengorbanan si ibu itu cukup besar.

"Malah, dia gigih mengumpul susu untuk dibekalkan kepada bayi ketika atau selepas menjalani pembedahan.

"Begitu juga dalam kes ibu yang sudah buang sebelah puting, tapi masih bersemangat nak menyusukan bayi. Ibu itu teruja melalui pengalaman menyusukan bayinya walaupun dengan sebelah payudara.

KETIKA mengikuti Seminar Penyusuan Anak Angkat 2023 anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan.
KETIKA mengikuti Seminar Penyusuan Anak Angkat 2023 anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan.

"Ibu sebegini menguatkan lagi usaha saya terus membantu golongan ibu di luar sana," katanya.

Nor Azura yang juga ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, tidak semua mengalu-alukan peranan dimainkan beliau dan rakan pembimbing penyusuan badan yang lain.

"Tidak ramai orang tahu kewujudan pembimbing penyusuan yang boleh membantu ibu menyusu badan bayi mereka.

"Ada segelintir juga memandang rendah tugas saya sehingga pernah terima sindiran pedas berbunyi, 'orang sekarang susukan anak pun nak diajar.'

NOR Azura (kiri) memberi khidmat rundingan peribadi untuk maklumat lebih berkesan.
NOR Azura (kiri) memberi khidmat rundingan peribadi untuk maklumat lebih berkesan.

"Pada saya pepatah Inggeris yang berbunyi 'Its takes a village to raise a child' yang mana membesarkan anak memerlukan kerjasama semua pihak dan menyusu badan adalah salah satunya.

"Saya tidak mengendahkan dan fokus terus berkongsi ilmu kerana itu satu galakan kepada ibu menyusukan bayi mereka sendiri," katanya.

Atas kegigihan, Nor Azura terpilih sebagai Numom Client Care Champion.

"Impian saya untuk kongsi lebih lagi apa saya tahu dalam penyusuan dengan lebih ramai ibu. Saya juga berhasrat membuka pusat penyusuan untuk memudahkan ibu mendapat bantuan penyusuan segera," katanya.

ANAK-anak Nor Azura juga menerima susu badan sepenuhnya.
ANAK-anak Nor Azura juga menerima susu badan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 6:20 AM