Hafiz Ithnin


Ternyata penyusuan ibu adalah paling terbaik untuk si kecil kerana ia mampu memberi pelbagai manfaat kepada si ibu dan anak itu sendiri.

Namun, ada juga si ibu yang mengambil langkah untuk memberikan susu formula kepada anak mereka disebabkan pelbagai faktor.

Perunding Sakit Puan Metro IVF, Dr Yow Choon Ming berkata, Malaysia menyasarkan pada 2025 sekurang-kurangnya 70 peratus bayi perlu disusukan secara eksklusif berbanding purata terkini iaitu 47.1 peratus sahaja.

Beliau berkata, sekiranya penyusuan ibu dapat diberikan secara eksklusif, ia dapat membantu menurunkan risiko mengalami kanser payudara dan rahim, kencing manis jenis 2 dan kemurungan.

"Selain daripada kebaikan secara terus kepada bayi, penyusuan susu ibu memberikan manfaat berterusan kerana kurang mengalami berat badan berlebihan atau obes serta mudah menerima informasi yang diberikan untuk pembelajaran sepanjang tumbesaran kanak-kanak.

"Kelebihan ini tidak terkandung dengan susu formula kerana berkemungkinan menggunakan air yang tidak bersih dan peralatan tidak disteril untuk mencegah jangkitan kuman atau bakteria," katanya.

Jelasnya, kadangkala susu formula mempunyai kandungan gula tinggi dan berkemungkinan meningkatkan berat badan yang berlebihan atau obes.

Katanya, sekiranya susu formula dibancuh menjadi terlalu cair pula iaitu tidak mengikut sukatan dianjurkan pengeluar susu berkenaan, dikhuatiri tidak mendapat nutrisi yang diperlukan bayi atau kanak-kanak.

"Ibu yang sedang hamil boleh cuba untuk lap areola atau puting susu kerana susu mula hadir seawal usia kandungan tujuh bulan.

IBU yang baharu melahirkan anak jangan tertekan sekiranya payudara tidak mengeluarkan susu.
IBU yang baharu melahirkan anak jangan tertekan sekiranya payudara tidak mengeluarkan susu.

"Jangan stres pula jika tiada pengeluaran susu dalam masa itu. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor ketika pemeriksaan ibu hamil secara berkala," katanya.

Dr Yow berkata, jika masih tidak menyusukan bayi, jangan risau sebaliknya dapat bantuan keluarga, kumpulan sokongan penyusuan ibu atau atau berjumpa pakar laktasi.

"Antara tip untuk meningkatkan susu ibu termasuk kerap menyusukan anak, kosongkan payudara dengan pam khusus untuk penyusuan ibu, minum banyak air supaya tidak mengalami dehidrasi dan semak pengambilan ubat dengan bertanya doktor anda.

KADANGKALA susu formula mempunyai kandungan gula yang tinggi.
KADANGKALA susu formula mempunyai kandungan gula yang tinggi.

"Selain itu, urutan antara kaedah yang efektif boleh dilakukan, pemakanan berkhasiat dan sentiasa berfikiran positif kerana bersama bayi adalah saat paling bermakna," katanya.

Pakar itu berkata, ada kalanya ibu mungkin mengalami mastisis kerana tisu bengkak disebabkan jangkitan bakteria atau saluran pengaliran susu tersumbat.

"Antara simptom yang dialami ialah demam 38.3 darjah Celcius

atau lebih, payudara berasa panas dan sakit, terdapat benjolan pada payudara dan rasa amat sakit sekitar payudara.

"Dapatkan nasihat daripada doktor supaya rawatan bersesuaian dapat diberikan dan sebarang isu dapat ditangani dengan baik.

"Teruskan usaha untuk menyusukan bayi anda dan nikmati masa mesra antara ibu dan bayi kerana tanpa disedari masa berlalu begitu pantas. Selain tidak dapat mengulang kembali saat itu apabila bayi semakin membesar dan keperluan pemakanan dan nutrien juga tinggi," katanya.

Pakar itu berkata, berkemungkinan tidak mendapat tunjuk ajar atau teknik yang betul menyebabkan susu ibu tidak dapat dihasilkan.

IBU mengalami bengkak susu adalah normal.
IBU mengalami bengkak susu adalah normal.

Justeru terdapat beberapa teknik yang boleh dilakukan:

1) Pastikan perut bayi menghadap perut ibu sepanjang penyusuan

2) Pastikan telinga, bahu dan paha bayi selari untuk memudahkan bayi menyusu

3) Paras hidung perlu selaras dengan puting ibu

4) Ibu juga boleh memegang payudara seperti bentuk C atau U untuk membolehkan puting dihalakan dalam mulut bayi

5) Pastikan areola sebanyak mungkin masuk dalam mulut bayi kerana apabila bayi mula menghisap, susu akan keluar daripada beberapa punca di bahagian areola.

6) Ibu juga perlu pastikan berada dalam keadaan selesa dengan sokongan seperti bantal dan kerusi yang sesuai untuk mencegah daripada leher dan bahu menjadi lenguh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 7:00 AM