Nurul Husna Mahmud


TIADA yang lebih menakutkan bagi si ibu apabila bayi yang baru dilahirkan mengalami insiden tersedak susu.

Statistik membabitkan kematian akibat tersedak susu adalah 90 peratus berlaku dalam kalangan bayi berusia antara dua hingga empat bulan.

Bagi ibu terutama yang menimang cahaya mata sulung, insiden bayi tersedak susu adalah igauan ngeri.

Dalam usaha membantu ibu bapa lebih memahami situasi atau risiko insiden bayi tersedak susu, Pembimbing Penyusuan, Nor Azura Mohd Puad, 31, berkata, posisi penyusuan perlu dilaras dengan betul.

Kata Nor Azura, bayi yang baru lahir masih belajar menyusu baik terus pada payudara mahupun botol susu.

"Kes bayi tersedak susu berisiko pada bayi bawah usia setahun dan enam bulan ke bawah risiko lebih tinggi.

"Bagi kes bayi yang menyusu terus dari badan ibu, tersedak susu masih boleh berlaku sekiranya posisi ketika penyusuan tidak tepat serta aliran susu sangat laju.

"Ibu kena ada pengetahuan mengenai cara penyusuan yang betul terutama posisi yang boleh membantu bayi mereka menyusu dengan selesa.

"Pada masa sama, si ibu boleh suaikan teknik atau posisi menyusu seperti 'side-lying' iaitu berada pada kedudukan mengiring dan bayi akan berbaring bersebelahan atau lain-lain posisi (Rugby ball hold, Laid-back atau Cross cradle hold).

"Episod tersedak akan berkurangan kerana bayi sudah semakin mahir menyusu pada payudara begitu juga ibu sudah semakin mahir menyusukan bayi mereka," katanya.

PENGETAHUAN mengenai teknik  pertolongam cemas penting dalam menyelamatkan nyawa bayi.
PENGETAHUAN mengenai teknik pertolongam cemas penting dalam menyelamatkan nyawa bayi.

Tambah Nor Azura, ibu boleh mencuba semua posisi penyusuan yang disyorkan. Namun paling penting haruslah berada dalam kedudukan dan posisi yang betul termasuk cara memegang bayi dan posisi yang selamat.

"Dalam konteks ini, ibu dan bayi perlu diberi ruang terutamanya pada empat minggu pertama untuk bayi menyusu tanpa intervensi dari peralatan lain," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, risiko tersedak susu juga lebih tinggi bagi bayi yang minum susu formula atau susu botol.

"Dalam kes susu botol, biasanya ada tabiat dalam kalangan penjaga yang membiarkan bayi minum susu sendiri sehingga tertidur.

"Lebih berisiko apabila mereka menyendal botol susu menggunakan bantal atau dalam buaian menyebabkan aliran susu daripada botol lebih laju.

"Jadikan amalan untuk susukan anak yang minum formula sehingga habis dan bantu bayi itu sendawa untuk kelancaran pencernaan mereka serta elak insiden tersedak susu berlaku," katanya.

Penting juga pasangan atau ahli keluarga berkongsi ilmu penyusuan dan mempelajari ilmu berkaitan dalam mengekang insiden bayi tercekik susu.

Kata Nor Azura, bayi tidak boleh memberitahu mereka tercekik atau tidak selesa, tetapi ibu perlu tahu isyarat atau tanda penting perubahan atau insiden tersedak susu itu berlaku.

"Walaupun bayi tidak boleh bercakap tetapi boleh tahu apabila mereka tidak selesa dengan sesuatu menerusi tangisan dan perubahan tingkah laku.

POSISI bayi menyusu penting membolehkan mereka selesa dan selamat.
POSISI bayi menyusu penting membolehkan mereka selesa dan selamat.

"Dalam kes bayi tersedak susu, ibu bapa atau penjaga boleh mengetahui menerusi episod bayi seakan-akan terbatuk kemudian senyap.

"Ia disusuli perubahan muka bayi tiba-tiba menjadi biru. Ini menandakan mereka sedang 'tercekik' dan perlu segera bantuan pernafasan," katanya.

Pakar itu turut berkongsi detik anaknya sendiri pernah mengalami insiden hampir serupa yang mana anaknya terbatuk beberapa kali kemudian senyap secara tiba-tiba dan muka bertukar biru.

"Kes tersedak susu mirip dengan kanak-kanak tercekik, apabila berlaku pada anak sendiri sehingga anak kelihatan sukar bernafas. Saya ambil tindakan pantas.

"Saya angkat anak dan tepuk belakang badannya beberapa kali, kemudian saya rendahkan kepalanya dengan cara meletakkannya di riba saya.

"Malah saya juga menepuknya beberapa kali sehingga terkeluar objek atau benda yang menyebabkannya tercekik. Dalam masa yang sama kami bergegas mendapatkan rawatan termasuk menjalani X-ray bagi memastikan tiada objek tertinggal," katanya.

Nor Azura bersyukur, dia memiliki pengetahuan berkaitan teknik pertolongan cemas dalam membantu anaknya dari tercekik.

"Syukur sebelum insiden, saya melihat satu video menyelamatkan bayi tersedak susu yang disediakan pasukan perubatan dari luar negara.

"Saya ada pengetahuan dan tahu hendak tangani situasi terbabit. Saya sarankan terutama pada ibu bapa mempelajari teknik pertolongan cemas, terutamanya yang berkaitan dengan bayi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 6:30 AM