BOTOL susu menjadi pilihan apabila bayi mula putus susu.
BOTOL susu menjadi pilihan apabila bayi mula putus susu.
Nurul Husna Mahmud


SETIAP ibu disaran menyusukan bayi dengan susu badan secara eksklusif selama enam bulan bagi menjamin si kecil yang baharu lahir itu mendapat nutrien yang sepatutnya untuk tumbesaran.

Malah, dikatakan antara kebaikan menyusukan bayi dengan susu ibu dapat merintang pelbagai penyakit termasuk kematian mengejut pada bayi atau dikenali dengan SIDS.

Si ibu juga pasti menerima manfaat iaitu membantu proses penyembuhan selepas bersalin dengan lebih pantas selain mengelak ibu berada dalam situasi masalah bengkak susu.

Namun, tidak semua bayi dapat menerima dengan baik penyusuan badan dan ada antaranya menolak seawal bulan pertama sehingga memaksa si ibu beralih menggunakan botol susu bagi membekalkan susu badan secara berterusan.

Dalam mencari botol yang sesuai untuk bayi mereka, beberapa tip disarankan pakar bagi membantu bayi terus dapat nutrien mencukupi dengan kaedah penyusuan berkenaan.

Faktor terpenting dalam meneliti botol susu yang sesuai bagi bayi ialah bahan yang digunakan pengeluar.

Bahan dalam pembuatan botol susu perlu diselidik dengan teliti kerana kemungkinan ia boleh meresap dalam susu formula bayi, sekali gus memasuki dalam sistem tubuh bayi terbabit.

Tidak semua bahan plastik mesra untuk bayi dan ada sesetengah akan bertindak balas atau terurai dengan suhu tinggi. Ia akan meresap dalam susu bayi.

BOTOL susu dibasuh untuk pastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara.
BOTOL susu dibasuh untuk pastikan aspek kebersihan sentiasa dipelihara.

Elemen dikenal pasti dalam pemilihan aspek bahan botol susu ialah perlu bebas bahan kimia Bisphenol A (BPA) dan flalat (sejenis polimer).

Semua bahan berikut sensitif pada haba dan tekanan menyebabkan ada kimia yang terurai dan berisiko meresap dalam makanan bayi.

Justeru, kebanyakan pengeluar beralih kepada material Polipropilin atau Polipropin (PP) dan Polietersulfon (PES) dalam pengeluaran botol susu bayi. Cuma untuk botol menggunakan PP, hayat penggunaan lebih terhad dan perlu ditukar selalu.

PES pula lebih mampan kerana mampu menahan dalam suhu yang lebih tinggi iaitu pada takat suhu setinggi 180 darjah Celsius.

Jika difikirkan rutin dalam penyediaan susu iaitu botol susu bayi perlu disteril atau didihkan terlebih dulu, PES antara opsyen terbaik sebagai bahan digunakan dalam pembuatan botol terbabit.

Ada juga disyorkan penggunakan material kaca dalam pembuatan botol, namun memikir sudut ketahanan, ia bukan material sesuai terutama apabila usia bayi atau kanak-kanak sudah boleh memegang botol susu sendiri.

PUTING perlu dipastikan diperbuat daripada material dan bentuk sesuai.
PUTING perlu dipastikan diperbuat daripada material dan bentuk sesuai.

Sebaik bahan diteliti, aspek tidak kurang penting dalam pemilihan botol susu bagi bayi ialah reka bentuk.

Reka bentuk botol susu yang dapat mengurangkan kolik atau muntah antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan dan bukan cantik atau tidak.

Terutama penyusuan bayi ketika di malam hari, bayi yang mengantuk lebih mudah mengalami rasa tidak selesa dan mudah untuk muntah terutama yang pengambilan susu formula.

Setiap pengilang atau pengeluar mempunyai paten atau reka bentuk tersendiri dalam memastikan produk botol susu yang mereka pasarkan untuk pengguna memenuhi kriteria seperti mengurangkan kesan kolik, muntah dan tahan lasak.

Sebagai ibu bapa, banyakkan membaca label baik pada kotak atau penanda maklumat (tag) botol susu membolehkan mereka membuat pilihan yang sesuai untuk bayi mereka.

Selain botol, bahan dan bentuk puting juga antara perkara yang dipertimbangkan.

BAHAN botol perlu dipastikan selamat kerana botol disteril pada suhu tinggi.
BAHAN botol perlu dipastikan selamat kerana botol disteril pada suhu tinggi.

Dalam pasaran ada dua jenis material digunakan iaitu getah atau silikon. Puting yang diperbuat daripada getah lebih lembut dan fleksibel, tetapi ia tidak tahan lama selain ada sesetengah bayi alah terhadapnya.

Sementara puting yang menggunakan silikon lebih tegap dan tahan lama. Perlu juga diteliti bentuk puting supaya menyerupai puting ibu.

Begitu juga aspek saiz dan aliran puting. Ada puting yang memiliki satu, dua atau empat lubang.

Biasanya ia direka sedemikian bagi memenuhi keperluan bayi mengikut perubahan atau peningkatan usia.

Tip mudah juga, pilih aspek itu berdasarkan perkembangan bayi dan untuk pastikan tahap kebersihan, sediakan lebih dari satu puting untuk setiap botol.

SUSU badan masih yang terbaik dalam membekalkan nutrien untuk bayi.
SUSU badan masih yang terbaik dalam membekalkan nutrien untuk bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:10 AM