NUTRIEN badan akan memberi kesan langsung kepada kualiti susu ibu.
NUTRIEN badan akan memberi kesan langsung kepada kualiti susu ibu.
Muhamaad Razis Ismail


SALAH satu soalan yang biasa ditanya mengenai penyusuan susu ibu ialah bagaimana pemakanan yang seimbang dan kaya dengan nutrien mempengaruhi susu ibu?

Badan si ibu menggunakan nutrien yang ada untuk menghasilkan susu. Ini bermakna nutrien pada badan si ibu akan memberi kesan langsung kepada kualiti susu.

Menerusi perkongsian Edison Institute of Nutrition, sekiranya anda tidak mendapat nutrien yang mencukupi, badan si ibu mungkin mengorbankan keperluannya untuk memenuhi keperluan bayi.

Mengikut kajian, sebenarnya diet penyusuan yang sihat tidak jauh beza dengan diet ketika hamil, namun perhatian perlu diberikan untuk mendapatkan nutrien mikro tertentu.

Memilih makanan yang lengkap dengan keperluan tenaga yang betul adalah penting untuk memastikan ibu mendapat nutrien penting ini.

Kunci untuk diet penyusuan holistik ialah mengekalkan tabiat pemakanan pelbagai dan mengelakkan makanan yang mungkin berbahaya dalam kuantiti yang banyak.

Berikut ialah beberapa panduan penting yang boleh digunakan untuk ibu memiliki susu yang berkhasiat untuk bayi.

1. Pastikan mendapatkan kalori yang mencukupi

Ketika menyusu, badan anda memerlukan sehingga 500 kalori lebih banyak tenaga setiap hari. Anda juga mungkin mengalami rasa lapar daripada biasa ketika menyusu. Atas sebab itu, adalah penting untuk menyesuaikan diet penyusuan anda dengan keperluan khusus anda.

SENTIASA kekal terhidrat ketika menyusu.
SENTIASA kekal terhidrat ketika menyusu.

2. Sentiasa kekal terhidrat

Mengikut kajian, susu ibu terdiri daripada 87 peratus air. Justeru, itu adalah penting untuk sentiasa kekal terhidrat ketika menyusu. Pastikan anda sentiasa minum apabila berasa dahaga. Pertimbangkan untuk minum air limau kerana ia mempunyai beberapa manfaat melebihi apa yang disediakan oleh air kosong.

TELUR mempunyai protein yang baik untuk susu ibu.
TELUR mempunyai protein yang baik untuk susu ibu.

3. Makanan tinggi protein

Protein tanpa lemak adalah penting ketika dalam fasa menyusukan bayi. Badan menggunakan protein untuk proses pemulihan dan tumbesaran serta bayi anda juga memerlukannya. Makanan seperti ayam, ikan, telur, produk tenusu, kekacang dan soya adalah sumber protein yang bagus untuk dimasukkan dalam diet anda.

4. Lebihkan kalsium dalam diet

Mengekalkan kalsium dalam diet boleh membantu badan menambah simpanan tenaga kerana ia menghasilkan susu ibu. Ini penting untuk mengekalkan kesihatan anda sendiri ketika anda menyusukan bayi. Sayur-sayuran berdaun, kekacang dan produk tenusu seperti keju dan yogurt semuanya adalah sumber kalsium semula jadi yang hebat.

NUTRIEN penting untuk proses penyembuhan, pemulihan ibu dan menghasilkan susu berkualiti.
NUTRIEN penting untuk proses penyembuhan, pemulihan ibu dan menghasilkan susu berkualiti.

5. Makanan mempunyai zat besi

Zat besi adalah satu lagi nutrien penting untuk kesihatan anda sendiri ketika anda menyusu.

Makanan laut, daging merah, ayam, itik, sayur-sayuran hijau, kekacang, dan buah-buahan kering mempunyai sumber zat besi semula jadi yang sangat baik. Zat besi adalah salah satu nutrien yang dikeluarkan secara semula jadi dalam susu ibu anda, tetapi ini bermakna anda memerlukannya yang cukup ketika menyusukan bayi anda.

6. Banyakkan vitamin B12

Vitamin B12 adalah nutrien yang diperoleh bayi melalui susu ibu. Sekiranya anda tidak mendapat cukup vitamin B12 dalam diet, susu ibu mungkin tidak mengandungi jumlah yang sesuai untuk bayi. Kekurangan vitamin B12 berkait rapat dengan kemurungan. Makanan laut seperti ketam, kerang dan udang adalah sumber B12 yang hebat. Hati dan telur adalah sumber tambahan B12 yang boleh dimasukkan

dalam diet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 6:40 AM