KAFE di dalam Istana Topkapi yang menghadap Selat Bosphorus.
KAFE di dalam Istana Topkapi yang menghadap Selat Bosphorus.
o Syah Rul Aswari Abdullah


TIDAK banyak yang penulis ketahui mengenai 'harem'. Kebanyakan masa, perkataan ini memberi konotasi yang agak negatif.

Namun, kebanyakan daripada orang Melayu semestinya pernah mendengar mengenai harem. Tambahan pula, siri televisyen popular Turki iaitu Magnificent Century pernah popular di negara ini. Popularitinya sehingga pernah ada kalangan penonton tidak senang dengan kisah yang dipaparkan menerusi siri ini.

Oleh itu, penulis tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjungi harem di Istana Topkapi apabila berpeluang berkunjung ke Istanbul, baru-baru ini.

Sebenarnya tidak ada yang betul-betul mengetahui kehidupan sebenar di dalam harem. Amat mudah untuk membayangkan pelbagai elemen negatif sekiranya hanya bersandarkan daripada karya lukisan hasil imaginasi orang Barat. Kebanyakan lukisan ini memaparkan gambar tidak senonoh. Sedangkan, pelukisnya langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam harem.

Harem sebenarnya adalah kawasan yang terpisah dari dunia luar. Dalam bahasa Arab, ia bermaksud tempat larangan. Ia boleh diibaratkan sebagai kompleks kecil dalam istana. Harem yang dibina di Istana Topkapi pada abad ke-16 ini dikatakan mengandungi hampir 300 bilik.

Ia sebenarnya adalah kompleks penginapan untuk sultan, permaisuri dan bonda sultan. Selain itu, ia dihuni oleh wanita istana termasuk gundik dan dayang di samping kanak-kanak termasuk putera sultan. Pada waktu kemuncaknya, ada 300 gundik yang tinggal di dalam harem.

Pengawal berkulit putih dan hitam pula ditugaskan untuk mengawal keselamatan harem. Namun, pengawal ini adalah hamba yang sudah dikembiri. Jadi, ia tidak menimbulkan masalah apabila mereka boleh mengawal kompleks dipenuhi wanita ini.

Putera kepada sultan juga akan tinggal di sini sehingga berusia 12 tahun. Selepas usia itu, mereka dianggap sudah dewasa.

Dikatakan, majoriti wanita yang dipilih menjadi gundik adalah hamba dari kawasan jajahan takluk. Ada pendapat mengatakan mereka dibeli di pasar hamba. Ada pula satu pendapat, majoriti daripada mereka ini dibawa dari Circassia iaitu wilayah yang bersempadan dengan Rusia. Ini kerana rupa paras gadis di situ yang jelita.

MAKAM menempatkan pusara Sultan Ahmet ini terletak di luar Istana Topkapi berhampiran Masjid Biru.
MAKAM menempatkan pusara Sultan Ahmet ini terletak di luar Istana Topkapi berhampiran Masjid Biru.

Namun, ia tidak mengejutkan kerana Empayar Turki Uthmaniyah pada satu ketika merentasi kawasan seluas 1.8 juta kilometer persegi!

Selepas memasuki harem, gadis ini akan menerima pendidikan untuk menjalani kehidupan istana. Mereka akan diajar untuk menulis, membaca, bermain alat muzik, menyanyi dan menari.

Namun, terdapat hieraki di dalam harem. Kedudukan tertinggi adalah pada bonda sultan atau 'valide' sultan. Sesuai dengan kedudukannya, wanita ini dikatakan paling berkuasa di harem kerana mempunyai pengaruh terhadap politik dan sosial empayar. Ini memandangkan ada sultan yang menaiki takhta ketika masih muda.

Bonda sultan menguruskan kehidupan di dalam harem termasuk memilih gundik yang layak tinggal di dalam harem.

LALUAN rahsia untuk keluar dari istana.
LALUAN rahsia untuk keluar dari istana.

Kedudukan ini diikuti oleh isteri (kadin) sultan dan anak mereka. Jika isteri melahirkan putera, si isteri akan digelar 'haseki sultan' manakala anak perempuan akan menyaksikan mereka menerima gelaran 'haseki kadin'.

Selepas itu, 'ikbals' (bermaksud digemari) iaitu gundik pilihan kepada sultan dan mempunyai pelbagai bakat. Ia diikuti dengan 'guezdes' (sebutannya seperti gedik) dan di bawah sekali adalah pekerja wanita yang menguruskan perjalanan kehidupan di dalam harem.

Bagi kebanyakan orang, gundik yang paling menjadi sebutan adalah Hurrem Sultan lebih dikenali daripada sisi negatif seperti sikapnya yang mempengaruhi beberapa keputusan Sultan Sulaiman Al-Qanuni (1520-1566). Apa tidaknya, dia dikenali kerana daripada hamba, menjadi gundik di harem sebelum menjadi isteri sultan.

PINTU masuk ke harem di Istana Topkapi.
PINTU masuk ke harem di Istana Topkapi.

Asal usulnya masih samar-samar, tetapi ahli sejarah berpendapat wanita ini bernama Roxelane, dari wilayah Ukraine iaitu Ruthenian yang ketika itu di bawah kerajaan Poland.

Selepas ditangkap, Roxelane dijual untuk dijadikan hamba di Kaffa. Beliau kemudian diambil oleh Valide Sultan Hasfa Sultan. Wanita itu menghadiahi anaknya Sultan Sulaiman Al-Qanuni dengan Roxelane sebagai gundik.

Namun cintanya kepada Roxelane menyebabkan Sultan Sulaiman melanggar banyak tradisi. Ketika gundik wanita dibenarkan melahirkan seorang anak sahaja, Hurrem melahirkan enam lagi anak. Selain itu, Sultan Sulaiman melanggar satu lagi tradisi apabila membebaskan Hurrem dan mengahwininya pada 1533.

Kedudukan Hurrem sebagai ibu putera sultan yang lain juga berbeza apabila beliau tidak pergi menemani puteranya yang bertugas sebagai gabenor tetapi tetap tinggal di Istanbul.

Secara logiknya, siapa tidak mahu tinggal di harem? Semuanya sudah tersedia, daripada makanan, pakaian, tempat tinggal dan status. Ini mengambil kira situasi sosial pada masa itu. Perlu diingat, ini bukan zaman moden. Ketika itu, perhambaan masih dibenarkan dan menjadi amalan biasa bagi masyarakat.

Kehidupan mewah ini juga yang dapat penulis gambarkan apabila memasuki harem. Setiap sisi kompleks ini dihiasi dengan ukiran dan jubin mewah. Status kedudukan seseorang wanita di sini juga dapat dilihat daripada saiz apartmennya.

Semakin luas dan mewah apartmen, ia menandakan wanita itu mempunyai status yang tinggi di dalam harem. Valide sultan atau bonda sultan, umpamanya mempunyai apartmen dan laman yang paling cantik serta luas.

Setiap bangunan ini pula dihubungkan dengan laman dan taman serta air pancuran. Dikatakan, harem ini enam tingkat, tetapi hanya tingkat satu dibuka untuk kunjungan. Ia memandangkan proses pemuliharaan dijalankan setiap masa untuk ruang tertentu pada masa-masa tertentu.

Harem ini juga mempunyai masjid berasingan untuk wanita dan pengawal kulit hitam. Selain itu, terdapat satu jalan ke bawah bukit yang dikatakan menjadi lorong rahsia untuk sultan ke kota tanpa disedari oleh rakyat.

Namun, bilik yang paling mewah semestinya adalah Dewan Imperial untuk menghadap sultan. Dewan ini dibina pada pemerintahan Sultan Murat III sebelum dihiasi dengan hiasan gaya baroque ketika era Sultan Osman III. Bilik paling mewah ini juga dikatakan mempunyai pintu rahsia untuk membolehkan sultan melarikan diri jika berlaku serangan.

Menyaksikan kemegahan harem di Istana Topkapi, ramai yang membayangkan apakah nasib keluarga diraja ini selepas Turki menjadi republik. Menurut pemandu pelancong, semua ahli kanan keluarga diraja diusir dari Turki pada 1924, selepas penubuhan Republik Turki pada 1923.

Ada yang dikatakan hidup dalam buangan di Eropah dan Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 7:00 AM