Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Keadaan dinding berlubang dan binaan hampir menyembah bumi, sebuah rumah di Jalan Kebun Sultan di sini, kelihatan seperti rumah lama ditinggalkan namun itulah 'istana' buat lima beranak yang menyewa di situ sejak 16 tahun lalu.

Ia dihuni oleh Razali Mohd Nor, 55, bersama isteri serta tiga anaknya berusia 16 tahun termasuk kembar berusia 10 tahun.

Menurutnya, rumah itu disewa dengan kadar RM150 sebulan namun dia akui bahawa ia tidak selalu dilangsaikan ekoran kekangan kewangan yang dihadapinya berikutan hanya bekerja sebagai buruh binaan serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Alhamdulillah pemilik rumah sangat memahami keadaan kami dan tidak pernah memaksa bayaran sewa itu. Bagaimanapun kami tidak mengambil kesempatan atas kebaikan mereka malah tetap membayarnya jika ada wang.

"Sebelum ini saya menjaja air di tapak Padang Bas, Jalan Pintu Pong, di sini namun ia sudah ditutup sejak lebih 10 tahun lalu. Saya tidak mempunyai sebarang kemahiran lain oleh itu terpaksa menjadi buruh binaan dengan mengambil upah membancuh simen.

"Bayaran yang diberikan adalah RM60 sehari tapi bukan setiap hari bekerja lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan)," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

 Rumah yang berusia lebih 60 tahun dan terletak di Jalan Kebun Sultan itu dihuni lima beranak, Razali Mohd Nor, 55 yang disewa sejak 16 tahun lalu dengan kadar RM150 sebulan  di Jalan Kebun Sultan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rumah yang berusia lebih 60 tahun dan terletak di Jalan Kebun Sultan itu dihuni lima beranak, Razali Mohd Nor, 55 yang disewa sejak 16 tahun lalu dengan kadar RM150 sebulan di Jalan Kebun Sultan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Razali berkata, dia bukan tidak mahu mencari rumah sewa lain tetapi mengenangkan sewanya yang di luar kemampuan menyebabkan dia terus bertahan lagipun tiga anaknya juga bersekolah di sekitar itu.

"Setiap kali hujan lebat atau ribut memang mencemaskan kami kerana sekitar rumah banyak pokok dan beberapa tahun lalu dahan pokok petai jatuh menghempap bahagian hadapan bumbung," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Geng Tolong Orang (GTO) yang diwakili pengerusinya, Haslina Jamaluddin.

Haslina berkata, pihaknya akan cuba mencari dana untuk baik pulih rumah Razali bagi memberi keselesaan buat keluarga itu.

"Sebaik dana diperoleh kami akan menukar zink dan dinding serta lantai termasuk yang sudah reput kerana keadaan itu agak berbahaya terutama di musim hujan yang bakal tiba ini.

"Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, boleh membuat sumbangan di akaun Maybank GTO 558284321547 atau menghubungi Razali di talian 01123875366," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 7:13 PM