ANTARA kereta yang dipertandingkan.
ANTARA kereta yang dipertandingkan.
Lizam Ridzuan


ACARA permotoran semakin banyak dianjurkan dan boleh dikatakan setiap minggu ada pelbagai program yang diadakan di seluruh negara membabitkan kereta atau motosikal.

Tidak terkecuali Kaboom X Super KCar Mega Gathering 2023 yang diadakan di Maeps, Serdang Selangor baru-baru ini cukup meriah dengan kehadiran lebih 3,000 kereta dan 70,000 pengunjung memenuhi kawasan acara yang mengumpulkan kesemua pemilik kereta kompak dengan aksesori Pasaran Domestik Jepun (JDM).

Pelbagai model seperti Perodua Kancil, Kenari, Myvi, Alza, Axia, Ativa Daihatsu dan Honda yang diberi sentuhan restorasi atau modifikasi maksimum yang menyerlahkan kreativiti pemiliknya dapat disaksikan dalam acara ini.

Acara ini dianjurkan oleh Pertubuhan Penggerak Alam (PEPA) iaitu badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif ke arah kelastrian alam sekitar dengan menjalankan kempen pengurusan sisa elektronik (e-waste) dan menumpukan kepada kabel barangan elektronik dan USB.

Pengerusi PEPA, Lizarwarty Mohd Dalal berkata, acara permotoran ini adalah kali kelima yang dianjurkan oleh mereka selepas Shah Alam, Pandamaran, Tanjung Harapan dan Kelana Jaya dalam mempromosikan aktiviti permotoran dan sukarelawan.

"Acara menyediakan platform untuk PKS dengan lebih 200 gerai makanan dan minuman tular serta pelbagai produk berkaitan yang turut serta kali ini dalam memeriahkan Kaboom X Super KCar Mega Gathering 2023.

"Kami juga berbesar hati kesudian bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob hadir bagi merasmikan acara ini serta menyokong minat golongan muda dan dewasa untuk aktiviti jentera empat roda sebegini," katanya.

Selain pameran kereta, juga diadakan persembahan konsert oleh artis tempatan, jualan barangan permotoran, sesi ramah mesra bersama pempengaruh dan pelbagai hadiah cabutan bertuah serta dengan hadiah utama ialah sebuah kereta Kelisa Gino.

SERLAH kreativiti pemilik.
SERLAH kreativiti pemilik.

Pengerusi Program Super Kcar Megagath, Mohamad Fadzli Abdul Rahman berkata ini adalah penganjuran keempat dan kali kedua bekerjasama dengan PEPA yang menyediakan lokasi dan sokongan acara.

"Sambutan diterima sangat menggalakkan dengan kehadiran peserta dari serata negara dan Thailand dan tahun ini kami menerima lebih 350 penyertaan untuk 55 kategori 'autoshow' yang dipertandingkan,"

"Selain permotoran, kami juga berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM10,000 setiap satu bagi disumbangkan kepada surau untuk Sekolah Kebangsaan Setia Alam, Selangor dan Rumah Anak Yatim Pohon Temusu, Yala, Thailand," katanya.

LEBIH 3,000 kereta memenuhi kawasan acara.
LEBIH 3,000 kereta memenuhi kawasan acara.

Antara kategori pertandingan Kaboom X Super KCar Mega Gathering 2023 ialah The Best Passo Racy / TRD Sport M, The Best Boon X4, The Best Boon Custom, The Best Passo / Boon 06/07, The Best Open Passo / Boon / Justy / Blick, The Best Passo Hana Basic, The Best Passo Hana 2010, The Best Hana Euro, The Best Hana Doremon serta banyak lagi.

Sebelum ini Super Kcar Megagath Vol 1 diadakan pada 2016 di Kedah, Super Kcar Megagath Vol 2 pada 2019 dan Passo Boon Sirion Megagath (The Last Episode) 2022 (Maeps, Serdang) dan Mini Super KCar Megagath 2023 di Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:32 AM