ANTARA pemenang kategori Autoshow Lori dan Trak.
ANTARA pemenang kategori Autoshow Lori dan Trak.
Lizam Ridzuan

PELBAGAI acara permotoran dianjurkan dan antara yang meriah baru-baru ini dengan acara Terpaling Havoc Mega Gathering 1.0 2023 yang diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu.

Terdapat banyak kategori daripada pelbagai jenis kenderaan diadakan dan salah satunya ialah Autoshow untuk Trak dan Lori tampil berbeza.

Diadakan sebanyak lima kategori utama untuk pertandingan iaitu Open 1 Tan, Tipper, Cargo, Bonded, Towing dan Lorry selain Kategori Best terdiri daripada Best Standard, Interior, Colour, Chrome, Clean, Modified dan Lighting.

Juri untuk acara ini, Long Azli, 48, berkata, program ini menghimpunkan semua jentera berenjin seperti kereta, pacuan 4x4 dan tidak terkecuali lori kerana sudah menjadi trend terkini dan ia semakin ramai dari masa ke masa.

"Ada yang menghias lori semata-mata untuk pertandingan dan bukan untuk tujuan komersial juga terdapat dalam kalangan peserta.

"Aktiviti ini mula menjadi trend sejak 2016 kerana mendapat inspirasi dari Thailand kerana pertandingan menghias lori ini sudah menjadi acara tahunan di sana," katanya.

Lebih 100 lori menyertai pertandingan ini yang datang dari seluruh negara dan ia dinilai daripada pelbagai sudut mengikut kategori.

TAMPIL unik dan berbeza.
TAMPIL unik dan berbeza.

Secara purata setiap pemilik lori membelanjakan kos RM100,000 hingga RM200,000 bagi ubah suai dan modifikasi yang kebanyakannya bertanding untuk kepuasan diri.

Untuk kategori standard terdapat kategori Half Modified dan Modified serta kebiasaanya akan mengubah rupa luaran dan dalaman kenderaan mengikut kreativiti sendiri terutama sistem audio dan kemasan balutan kulit.

"Antara yang akan dinilai ialah kreativiti daripada sudut luaran dan dalaman seperti sport light, krom, warna, airbrush, hon, kebersihan dan keselamatan selain hiasan pada lori," katanya.

Acara Terpaling Havoc Mega Gathering 1.0 ini dikunjungi oleh lebih 15,000 orang di Litar Gong Badak, Terengganu.

Ia berjaya menarik lebih 3,500 kereta, 1,000 motosikal, 300 lori, 200 pacuan 4x4 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebanyak 100 buah.

Mendapat sokongan daripada pelbagai penaja yang berjaya menghimpunkan hadiah bernilai lebih RM200,000 untuk keseluruhan acara ini yang dianjurkan Castcall Asia Sdn Bhd serta disokong penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Rakan Muda.

Selain pameran kereta dan reruai jualan, juga diadakan persembahan artis seperti Hafiz Suip, Black Hanifah, Aril Pilus dan ramai lagi.

PESERTA wanita tunggal.
PESERTA wanita tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 6:30 AM