SERLAH kreativiti.
SERLAH kreativiti.
Lizam Ridzuan

LEBIH 20,000 pengunjung dan peminat permotoran tempatan menyerbu kawasan parkir atas bumbung di Mytown, Kuala Lumpur bagi memeriahkan Motormaniac Encore Edition, baru-baru ini.

Ia turut disertai oleh lebih 450 kereta daripada segmen Pasaran Domestik Jepun (JDM), Malaysia dan Continental, kereta ciri pelbagai konsep dan super car yang dipamerkan oleh pemiliknya dalam acara yang diadakan selama dua hari itu.

Dianjurkan oleh Bateriku.com serta mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan dan Tourism Malaysia selain pelbagai rakan penaja lain bagi memeriahkan lagi acara.

Ketua MotorManiac, Wan Mikhail Faizi Azarol Faizi atau lebih dikenali sebagai Mike berkata acara yang

terkenal dengan tema 'Made By Enthusiasts, For Enthusiasts' itu mengetengahkan kereta projek pertama mereka daripada Nissan Cefiro A31.

"Kereta ini menjadi tumpuan utama dalam acara kali ini yang ia mengambil masa dalam tempoh dua tahun untuk disiapkan bagi restorasi dan sentuhan kejuruteraan termasuk enjin,"

CEFIRO A31.
CEFIRO A31.

"Ia dibangunkan oleh pasukan dan golongan muda Motormanic kami yang dibimbing oleh pakar binaan khas dan industri tempatan bagi memberikan Cefiro ini nafas dan kuasa baharu ke jalanan," katanya.

Sebagai acara untuk peminat tegar modifikasi dan talaan kenderaan, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pertandingan dengan pelbagai kategori bagi mencambah minat ramai dalam aktiviti sebegini.

Antaranya 'Best Fitment', 'Best Engine Bay' , 'Best Classic Car' dan 'Best Concept Car' yang menampilkan pelbagai binaan dan kreativiti pemilik dalam menzahirkan bentuk yang lebih unik, sporty, menarik dan berbeza daripada yang lain.

Selain itu juga diadakan jualan makanan dan minuman serta pempamer di reruai yang menawarkan pelbagai produk berkaitan dunia sukan permotoran.

CAR Limbo meriah.
CAR Limbo meriah.

"Selain kenderaan, acara sisi lain turut dimeriahkan dengan pertandingan Car Limbo dan 2-Step yang dipopularkan oleh Motormaniac untuk acara tahunan yang diadakan pada tahun lalu serta program dan aktiviti gaya hidup seperti BBoy (breakdance), BMX dan koleksi model skala kereta, Hot Wheels," katanya.

Motormaniac ialah jenama gaya hidup ditubuhkan pada 2019 yang menawarkan segmen untuk mempromosikan perniagaan automotif bersama Bateriku.com secara digital kepada ekosistem mereka dan pasaran peminat kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 6:35 AM