LEBIH 2,500 model Myvi dan Alza dihimpunkan dari seluruh negara.
LEBIH 2,500 model Myvi dan Alza dihimpunkan dari seluruh negara.
Fatin Farhana Japre


Sempena program #Megagath Kuala Lumpur 2017, sebanyak 2,585 model Myvi dan Alza dihimpun di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor baru-baru ini.

Perjumpaan ini menyaksikan peminat pasaran domestik Jepun (JDM) yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit mengubah suai kenderaan mereka persis Passo, Boon, Sirion, Hana, Sette dan Luminas.

Program anjuran Mr Garage Autoparts yang memasuki tahun ketujuh ini juga berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Penganjur, Mohd Rijalullah Rayah berkata, program itu dijadikan platform untuk menunjukkan kreativiti masing-masing dan menyaksikan peningkatan jumlah peminat JDM di Malaysia.

“Selain acara perjumpaan, kami juga menganjurkan pameran kenderaan dengan jumlah penyertaan lebih 200 jentera.

“Di sini kami memberi peluang kepada peminat JDM menunjukkan kreativiti masing-masing daripada pelbagai kategori yang dipertandingkan. Kenderaan peserta akan dinilai menerusi bahagian luaran, enjin, hiasan dalaman, audio, kebersihan, spesifikasi JDM dan 100 peratus produk asli Jepun,” katanya.

Katanya, lebih 30 kategori dipertandingkan Passo Boon 06, Daihatsu Boon Custom, Toyota Passo Sette, Open VIP Concept, Passo Hana Euro, Best Body Sticker, Best Sunroof, Best Colour, Best Air Suspension dan Best Sports Rim.

“Tahun ini, peserta berpeluang merebut pelbagai hadiah menarik seperti pakej percutian dan alat ganti kenderaan yang ditaja oleh Ftuned Racing Suspension, Wan Farouk & Smartroleum Oil dan lain-lain.

“Justeru, saya berharap ada lebih ramai peminat JDM di negara kita kerana kenderaan ini sangat unik, futuristik dan ekstrem pada mata kami,” katanya.

Turut disediakan gerai makanan bagi kemudahan pengunjung menjamu selera dan gerai jualan alat ganti kenderaan daripada pihak penaja.

Pengunjung, Haziq Shah, 25, dari Muar, Johor, mengakui teruja untuk melihat sendiri pameran kenderaan berkonsepkan JDM ini kerana mahu mencari idea baru untuk mengubah suai model Myvi miliknya.

“Saya boleh dikatakan baru saja ‘berjinak-jinak’ mengubah suai kenderaan ala Passo. Hari ini saya tidak saja mencari idea baru, juga berpeluang meminta nasihat atau pendapat daripada peminat kenderaan JDM yang berpengalaman.

“Secara keseluruhan, program ini sangat memuaskan dan bagi saya, perjalanan selama dua jam semata-mata untuk ke sini sangat berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:55 AM