SUV gaya Gazoo Racing.
SUV gaya Gazoo Racing.
Oleh Lizam Ridzuan


SEJAK pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Corolla Cross pada 2021 ia bukan saja menambah pilihan kenderaan segmen itu di negara ini malah menjadi 'hot' kerana nama yang diangkat daripada model paling popular di dunia, 'Corolla'.

Dibangunkan di atas platform GA-C di bawah Toyota New Global Architecture (TNGA) adalah yang sama digunakan untuk C-HR, namun model ini tampil dengan elemen lebih selesa serta praktikal.

Selepas pengenalan model Hibrid pada 2022, ia kini tampil dengan varian tertinggi lebih sporty iaitu Corolla Cross GR Sport dan Vroom berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini.

Melihat kepada reka bentuk luarannya, adalah sama dengan Corolla Cross yang lain, namun dibezakan dengan beberapa kemasan bagi disesuaikan dengan DNA prestasinya itu.

Pada bahagian hadapan dengan gril hitam corak 'honeycomb' dan bahagian bamper bawah elemen sama serta pada belakang ciri diffuser menambah ciri astetika GR Sport dengan loga pada sisi dan bahagian pintu kargo.

Model ini juga mudah dikenali dengan dwiwarna hitam pada bumbung, cermin sisi dan spoiler belakang yang dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci rekaan bilah kipas untuk lebih kestabilan dan kelancaran pada laluan basah serta kering yang membantu penggunaan bahan api lebih baik.

Pada bahagian kabin dengan papan pemuka lebih elegan warna hitam dengan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) 4.2 inci berwarna penuh, pendingin hawa automatik, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, kerusi pemandu boleh laras lapan ketetapan dan untuk penumpang bukan sahaja selesa malah penyandar boleh direndahkan sebanyak enam darjah.

Ia juga sistem infotainmen bersaiz 9 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang juga berfungsi sebagai kamera paparan sekitar 360 darjah memudahkan pergerakan terutama untuk tujuan parkir atau melalui kawasan yang sempit.

Sesuai sebagai SUV model ini juga dengan elemen praktikal termasuk ruang but 440 liter bagi memuatkan barangan keperluan selain kerusi belakang boleh dijatuhkan untuk menambah lebihan muatan.

Untuk pemanduan pula ia dilengkapi dengan enjin 1,798cc dual VVT-i DOHC yang menjana kuasa 139PS pada 6,400rpm dan tork 172Nm pada 4,000rpm yang menawarkan bukan sahaja prestasi malah penggunaan bahan api lebih baik.

Untuk model GR Sport ini suspensinya ditala dengan ciri sport pada bahagian hadapan (MacPherson Strut) dan belakang (Torsion Beam) pada spring dan strut yang kesemuanya dengan 'Stabiliser' dan penulis dapat rasakan ciri itu ketika pemanduan selekoh yang menawarkan kendalian ala prestasi.

Menerusi kotak gear transmisi tujuh kelajuan CVT ia dikawal secara elektronik untuk kuasa yang responsif, lebih senyap serta ekonomi memberikan kepuasan terutama ketika meluncur di lebuh raya.

Melalui jalan dalam bandar juga lancar meskipun dengan saiz SUV dengan nisbah putaran 5.2 meter adalah yang paling kecil dalam segmennya bagi membuat pusingan u atau simpang yang tajam.

Selain selesa dan lancar, ia adalah SUV yang melengkapi keperluan seisi keluarga dengan elemen keselematan terbaik daripada Toyota Safety Sense seperti Sistem Pra-Perlanggaran Perlanggaran (PCS), Amaran Keluar Laluan (LDA), KAwalan Pelayaran Radar Dinamik, Bantuan Mengesan Laluan (LTA) dan 7 beg keselamatan SRS.

Untuk kemudahan lain, pintu belakang juga boleh digerakkan dengan pergerakan kaki terutama jika tangan penuh dengan barangan untuk membuka pintu.

Secara keseluruhannya model Corolla Cross GR Sport ini menawarkan gaya tambahan buat peminat jenama ini yang mahukan SUV dengan ciri sporty.

Gazoo Racing (GR) adalah bahagian sukan permotoran Toyota dan sudah pasti ciri DNA diterapkan pada setiap model dengan elemen prestasi serta gaya yang penulis juga menggemari kemasan ditawarkan.

Untuk 47 liter tangki bahan api penuh, ia mampu menjangkau sehingga 500 kilometer (km) dan penulis catatkan penggunaan sekitar 8.3 liter untuk setiap 100km.

Ia juga dengan kemudahan corong USB dan pengecas tanpa wayar dalam memastikan setiap telefon dan gajet sentiasa mendapat bekalan kuasa.

Untuk pasaran Malaysia Corolla Cross GR Sport ditawarkan pada harga RM142,000 dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 6:55 AM