Lizam Ridzuan


SEGMEN kenderaan utiliti sukan (SUV) cukup mendapat tempat dalam kalangan pembeli dan kerana itu setiap jenama memperkenalkan model terbaharu masing-masing bagi bersaing dalam pasaran automotif dunia.

Tidak terkecuali buat jenama Toyota yang melancarkan model Toyota Corolla Cross Serba Baharu melalui pengedar utamanya di negara ini, UMW Toyota (UMWT).

Ia adalah model SUV kedua dibangunkan di atas platform GA-C di bawah Toyota New Global Architecture (TNGA) selepas C-HR namun Corolla Cross ini menampilkan ciri ruangan yang lebih selesa dan praktikal.

Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji media untuk Toyota Corolla Cross yang diadakan baru-baru ini di sekitar Lembah Klang bagi melihat dengan lebih dekat prestasi dan kemasan yang ditawarkan.

Perjalanan dimulakan di ibu pejabat UMWT di Shah Alam menuju Kota Kemuning menggunakan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan seterusnya ke Cheras, Hulu Langat dan Empangan Semenyih sebelum ke Cyberjaya serta kembali ke Shah Alam.

Model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari Thailand yang sudah pun melancarkannya untuk pasaran di negara itu pada tahun lalu dan untuk versi pemasangan tempatan (CKD), UMWT menjangkakan ia dilaksanakan pada hujung tahun ini.

PADANAN rim 18 inci (G) dan 19 inci (V)
PADANAN rim 18 inci (G) dan 19 inci (V)

Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan melalui dua varian iaitu Corolla Cross 1.8V (flagship) dan Corolla Cross 1.8G seperti unit yang disediakan untuk pandu uji media ini.

Model ini panjangnya 4,460 milimeter (mm), lebar 1,825mm, tinggi 1,620mm, jarak antara roda 2,640mm manakala kelegaan jalan pula 161mm.

Berbanding Corolla Sedan, ia lebih pendek 170mm, lebih lebar 45mm, lebih tinggi 185mm, jarak antara roda lebih pendek 60mm namun dengan kelegaan jalan lebih 33mm.

Reka bentuknya menampilkan gaya lasak urban terutama pada bahagian hadapan dengan dwigril 'trapezoid' yang luas bagi imej lebih mantap dan stabil.

CIRI rekaan hadapan dengan gril ‘trapezoid’ .
CIRI rekaan hadapan dengan gril ‘trapezoid’ .

Melalui pengamatan pertama penulis, ia menampilkan rekaan lebih muda terutama pada bahagian sisi dan belakang dengan garisan dinamik.

Lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) untuk G masih kekal dengan halogen dan untuk V, ia dilengkapi bi-LED automatik dengan pancaran teknologi 'curtain' baharu.

Padanan rim aloi 17 inci dengan tayar 215/60 Bridgestone untuk varian ini dan 18 (225/50) daripada Michelin untuk varian V menjadikan ia tampil lebih bergaya.

Untuk ruang dalaman, terdapat beberapa bahagian yang diangkat daripada model Corolla sedan seperti pemain multimedia, corong pendingin udara, paparan meter pemandu, roda stereng dan konsol tengah membabitkan gear dan perehat tangan.

Pemain multimedianya bersaiz 9 inci, ia lengkap dengan skrin sesentuh selain Paparan Maklumat-Pelbagai (MID) bersaiz 4.2 inci untuk meter pemandu.

GAYA SUV terbaharu daripada Toyota.
GAYA SUV terbaharu daripada Toyota.

Untuk kerusi pemandu, ia datang dengan lapan larasan automatik namun manual untuk penumpang hadapan.

Ruang butnya pula seluas 440 liter, ia antara yang terluas dalam kalangan SUV segmen C.

Pintu belakang boleh dibuka dan ditutup secara automatik dengan sentuhan butang pada pintu atau hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar.

Untuk pemanduan, ia dilengkapi enjin 1.8L 2ZR-FE DOHC Dual VVT-i, pacuan roda hadapan (FWD) dan dilengkapi padanan transmisi tujuh kelajuan CVT serta 'Sequential Shiftmatic'.

Ia menjana 139PS pada 6,400rpm dan tork 172Nm pada 4,000 rpm. Ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 180 kilometer/sejam (km/j).

RUANG dalaman selesa dan praktikal.
RUANG dalaman selesa dan praktikal.

Sepanjang penulis memandunya dalam kawasan bandar dan lebuh raya, penulis dapat berasakan prestasi enjinnya yang lancar serta stabil pada pelbagai kelajuan.

Ketika melalui laluan berbukit dan selekoh di Hulu Langat menuju ke Empangan Semenyih, penulis yang duduk di kerusi penumpang belakang juga tidak berasa pening kerana olengan yang minimum.

Ia terhasil melalui suspensi hadapan MacPherson dan belakang 'torsion beam' serba baharu seterusnya memberi keseimbangan terbaik antara prestasi dan keselesaan.

Corolla Cross juga datang dengan sistem keselamatan terbaik 'Toyota Safety Sense' meliputi elemen 360-T termaju seperti Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Keluar Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng dan Kawalan Pelayaran Radar DInamik (DRCC).

ENJIN 1.8 liter Dual-VVT-i.
ENJIN 1.8 liter Dual-VVT-i.

Ia juga datang antaranya dengan tujuh beg keselamatan SRS dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Merah Mica Metalik, Nebula Biru Metalik, Metalstream Metalik, Platinum Putih Mutiara dan Graphite Metalik.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Corolla Cross 1.8V dijual pada harga RM134,000 dan Corolla Cross 1.8G pula pada harga RM124,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Selain diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), ia juga diberi anugerah lima bintang untuk Program Pemeriksaan Kereta Baru (NCAP) Asean daripada aspek keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:25 AM