Lizam Ridzuan


SEGMEN kenderaan utiliti sukan (SUV) cukup mendapat permintaan tinggi dan kerana itu semakin banyak model SUV ditawarkan.

Tidak terkecuali buat jenama premium seperti Mercedes-Benz.

Ia turut membariskan model yang menarik dengan ciri sporty dan prestasi pemanduan sebenar.

Vroom berkesempatan memandu uji model SUV kompak Mercedes-AMG GLB 35 4Matic Serba Baharu yang dilancarkan pada suku ketiga tahun lalu.

Ia menawarkan rekaan yang diinspirasikan daripada model G-Class dan GLS-Class namun dengan saiz yang lebih kompak serta bergaya.

Ia menggunakan platform roda hadapan yang sama dengan A-Class serta GLA-Class.

Namun jarak rodanya 10 sentimeter (sm) lebih panjang untuk lebih ciri praktikal malah dengan SUV GLC-Class, ia hanya lebih pendek 22 milimeter (mm) sahaja.

Sebagai varian prestasi, ia juga model pertama dalam rangkaian 35-Series menggunakan gril radiator hadapan AMG serta bahagian apron dan 'flics' yang berfungsi sebagai pengalihan kemasukan angin untuk ciri aerodinamik lebih baik.

RIM aloi 20 inci AMG.
RIM aloi 20 inci AMG.

Lampu utama Multibeam LED (18 LED setiap lampu), lampu nyalaan siang (DRL), lampu pancaran tinggi adiptif, rim aloi 20 inci AMG, AMG Bodystyling dan AMG Line dan rel bumbung menyerlahkan lagi gaya model ini.

Pada bahagian belakang, pintu automatik terbuka hanya dengan gerakan kaki.

Ia juga didatangkan dengan ekzos berkembar dan bampar lapisan krom serta 'diffuser' elemen sporty.

GRIL hadapan AMG dan lampu multibeam LED.
GRIL hadapan AMG dan lampu multibeam LED.

Untuk ruang dalaman, ia dilengkapi lapisan kulit Artico pada papan pemuka dan gentian mikro Dinamica pada bahagian sisi pintu.

Ia juga didatangkan dengan kerusi sport larasan elektrik serta tetapan memori.

Selain Mercedes-AMG GLB 35 ini, ada dua lagi varian di bawahnya iaitu Merecdes-Benz GLB 200 Progressive Line dan GLB 250 AMG Line dengan penawaran tujuh tempat duduk.

Namun untuk GLB 35, ia hanya menawarkan lima tempat duduk sahaja.

Papan pemuka dengan kluster meter dan multimedia seakan bersepadu. Setiap satunya bersaiz tujuh inci dan ia memberikan visual gaya mewah pada kenderaan ini.

Ciri inovatif Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan sistem mutimedia bersaiz 10.25 inci membolehkan kenderaan, pemandu dan penumpang saling terhubung.

BAHAGIAN belakang dengan pintu but automatik.
BAHAGIAN belakang dengan pintu but automatik.

Selain 'Mercedes me connect', Kawalan Suara, Apple CarPlay dan Adroid Auto, papara skrin undur dan navigasi turut disediakan bagi model ini.

Paparan meter juga boleh ditukar dengan tiga pilihan tema iaitu 'Classic', 'Sporty' atau 'Supersport'.

Ia boleh ditukar melalui skrin sesentuh atau pada pad sesentuh yang terletak pada konsol tengah.

Roda stereng dibaluti kulit Nappa malah datang dengan pelbagai fungsi dengan 'pedal shifter' untuk ciri prestasi.

Ruang dalaman juga praktikal malah kerusi belakang boleh direbahkan dengan nisbah 40:20:40.

Paling mengujakan sudah pasti prestasi enjinnya dengan 1,991cc pengecas turbo twinscroll menjana 306 kuasa kuda (hp) pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 400Nm pada 3,000-4,000 rpm.

PAPAN pemuka premium.
PAPAN pemuka premium.

Ciri prestasi dengan transmisi lapan kelajuan AMG Speedshift DCT bukan sahaja lancar malah selesa bagi perjalanan jauh menerusi pacuan 4Matic semua roda (AWD).

Sebagai model prestasi, ia juga dilengkapi dengan fungsi 'Race Start' untuk limpahan kuasa dan pecutan lebih baik.

Paling menarik pada pandangan penulis ialah penawaran lima mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+

dan Individual, mengikut kesesuaian individu.

Mod-mod ini akan mengubah parameter utama yang menjadikan enjin lebih responsif, juga pada transmisi, suspensi dan roda stereng.

Melalui sambungan AMG Dynamic Select, ia menawarkan kawalan lebih mantap dengan karakter pengendalian hampir menyamai keperluan keadaan permukaan jalan itu.

Melalui pengalaman penulis, prestasinya melonjak sangat berkuasa terutama ketika mod sport diaktifkan dan tenaga yang dialirkan sangat responsif.

Suspensi hadapan MacPherson Strut dan belakang Multi-link dengan AMG Ride Control memberikan ia pengendalian terbaik pada pelbagai kelajuan, terutama ketika selekoh.

Ia menambah keyakinan kepada pemandu dan pada masa sama, keselesaan kepada penumpang.

Secara keseluruhannya, Mercedes-AMG GLB 35 4Matics adalah SUV kompak bergaya dengan sentuhan talaan AMG, ia menjadikan model ini lebih berprestasi.

Melalui rekaan luaran, ia sedikit 'boxy' namun kemasan dihiasi gaya prestasi menyerlahkan SUV ini daripada varian yang lain.

Elemen pengendalian terbaik dengan enjin turbo AMG bagi kepuasan pemanduan dengan kelajuan maksimum mampu mencapai sehingga 250 km/j.

Malah buat yang berjiwa kelajuan, meter AMG memberikan maklumat lebih terperinci berkaitan data enjin, G-meter, catatan masa perlumbaan dan banyak lagi.

Ciri keselamatan terbaik juga ditawarkan seperti Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Laluan Aktif dan Bantuan Titik Buta.

Tangki bahan api berkapasiti 52 liter mencatatkan penggunaan sekitar 7.6 hingga 7.3 liter untuk setiap 100km, bergantung kepada corak pemanduan dan muatan penumpang.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG GLB 35 4Matic Serba Baharu dijual pada harga RM363,136 (atas jalan tanpa insurans serta tanpa cukai jualan).

Model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:30 AM
SUV kompak AMG GLB 35.
SUV kompak AMG GLB 35.