Lizam Ridzuan


SEBAGAI model paling laris di dunia untuk beberapa tahun, Toyota Corolla sememangnya sudah dikenali sebagai model dengan kebolehpercayaan tinggi kerana prestasi dan ketahanan enjin yang ditawarkan.

Untuk menambah gaya, Corolla GR Sport ditawarkan sebagai salah satu varian model itu di negara ini dan Vroom berpeluang memandu ujinya baru-baru ini.

Dilancarkan sekitar suku ketiga tahun lalu, ia bukan sahaja diperbaharui daripada sudut kemasan semata, malah ia turut mendapat talaan pada suspensi untuk pengendalian dan keselesaan tambahan.

Untuk rekaan luaran ia menerima pembaharuan daripada segi bampar dengan bahagian bawah lebih lebar dengan corak sarang lebah dan kemasan hitam.

Ia juga dengan posisi baharu untuk lampu kabus serta pada bahagian belakang kemasan bawah bampar seakan-akan diffuser menyerlahkan gaya sporty.

Ciri lain dengan cermin sisi hitam, rim aloi 18 inci warna hitam menyerlahkan gaya dengan tayar lebar 225/40 serta logo GR menjadikan berbeza dengan varian standard.

Untuk ruang kabin tidak banyak perbezaaan dengan varian standard seperti sistem infotainmen 12.3 inci, pendingin hawa dwi zon, gear tangan, kerusi pemandu larasan elektrik dengan 8 ketetapan, pengecas tanpa wayar Qi, monitor paparan panorama 3D serta perakam video digital.

Sistem infotainmen juga dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto serta pada bahagian pelindung kepala kerusi terdapat logo GR dengan kerusi terdapat kemasan merah untuk sentuhan gaya prestasi.

RIM aloi 18 inci hitam.
RIM aloi 18 inci hitam.

Untuk pemanduan pula ia masih kekal dengan enjin 1,798 cc, 4 silinder, selari, 16 injap, DOHC dengan dwi-VVTi yang menjana 139PS pada 6,400 rpm dan tork 172Nm pada 4,000 rpm dengan kotak gear 7 kelajuan Sequential Shifmatic CVT.

Pengendalian menggunakan enjin ini sangat lancar dan responsif menerusi dua mod pemanduan iaitu Sport dan Eco yang boleh dipilih megikut kesesuaian keperluan bagi perjalanan lebih baik.

Malah memandu pada lebuh raya dan selekoh juga pada kedudukan yang stabil dan selesa hasil talaan suspensi sport yang ditawarkan untuk varian ini.

Selain itu suspensi belakang double wishbone juga menawarkan respon yang cukup baik terutama ketika kelajuan sederhana dan tinggi serta pada selekoh.

Ketika melalui jalan bandar yang sesak serta untuk menyelinap masuk ke simpang atau ruang yang kecil ia mudah dilakukan dengan prestasi enjin sebegini selain radius putaran sekitar 5.4 meter.

Sistem keselamatan terbaik menerusi Safe-T yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran Toyota Safety Sense, Amaran Keluar Lalua (LDA), Bantuan Kenalpasti Laluan (LTA) untuk pelbagai kelajuan dalam memastikan ia berada pada kedudukan laluan.

ENJIN 1.8 liter dwi-VVTi.
ENJIN 1.8 liter dwi-VVTi.

Ia juga dilengkapi Kawalan Pelayaran Radar Dinamik untuk semua kelajuan membolehkan ia digunakan ketika menempuh kesesakan jalan raya antara yang dilengkapi sangat memudahkan penulis yang terperangkap dala kesesakan di lebuh raya ketika cuti perayaan baru-baru ini.

Ciri keselamatan lain dengan 7 beg keselamatan SRS, Kawalan Bantuan Permulaan-Bukit (HAC), Paparan Titik Buta (BSM), Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS) yang akan memaklumkan sekiranya tekanan semakin berkurang, Kawalan Kestabilan kenderaan (VCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek, Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Kemasan dalaman lain dengan logo GR Sport pada penghidup enjin, kerusi belakang jatuhan 60:40 untuk ciri praktikal, ruang but yang luas adalah melengkapi buat pemilihan model sedan dalam segmen-C ini.

Secara keseluruhannya, Toyota Corolla GR Sport ini menambah pilihan buat peminat model ini untuk tampil gaya dengan kemasan dan talaan suspensi sport daripada teknologi sukan permotoran jenama ini iaitu Gazoo Racing (GR).

TAMPIL ciri sporty.
TAMPIL ciri sporty.

Sebagai model paling sedan popular global ia juga mempunyai peminat tersendiri yang mahukan gaya sporty tidak berlebihan dan dalam masa kos pemilikan yang berpatutan menjadikan model Corolla sentiasa menjadi pilihan.

Menerusi 50 liter tangki bahan api ia mampu menjangkau sehingga 580km bergantung kepada corak pemanduan muatan dan permukaan jalan raya yang dilalui.

Untuk pasaran Malaysia Corolla GR Sport dijual pada harga RM152,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan varian lain terdiri daripada Corolla 1.8E pada harga RM139,800 dan 1.8G pada RM147,800.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 6:30 AM