CIRI Hot-Hatch prestasi Toyota.
CIRI Hot-Hatch prestasi Toyota.
HM Digital

Berapa ramai yang sanggup membayar sebuah kereta pada harga RM355,000, bertransmisi manual, hatchback dan hanya menggunakan bahan api RON97.

Namun kenderaan ini mempunyai peminat tersendiri dan menjadi pilihan kebanyakan pengumpul kereta sebagai salah satu koleksi peribadi yang perlu dimiliki.

Untuk itu Vroom berpeluang memandu uji Toyota GR Corolla Serba Baharu iaitu sports hatchback dengan elemen ciri prestasi yang diperkenalkan pada tahun lalu dalam pasaran Malaysia.

Model ini adalah sebagai varian daripada daripada model Corolla Hatchcbak iaitu selain sedan dan estate (wagon) yang ada dalam pasaran Jepun, namun menerima sentuhan teknologi daripada unit sukan permotoran Toyota iaitu Gazoo Racing (GR).

Jadi, model ini bukan biasa-biasa kerana sememangnya ditawarkan buat peminat sukan permotoran yang berkemampuan tinggi sama ada daripada sudut kemahiran pemanduan dan kewangan dan untuk itu rekaan luarannya sudah melihatkan ia sangat agresif.

Terutama pada bahagian bampar hadapan sehingga ke belakang setiap sudut menyumbang kepada ciri erodinamik terbaik seperti gril matrix yang luas dan lebar, corong angin pada bonet.

Ia juga dengan lampu Bi-LED projektor automatik hadapan dan belakang serta lampu membelok dariapda LED dan bahagian belakang tampil lebih menyerlah dengan bampar hitam berkilat, diffuser, lorong udara serta tiga ekzos sebagai tanda ini adalah model prestasi.

Pada bahagian sisi selain lebih lebar pada bahagian dapra hadapan dan belakang, ia juga dengan 'skrting' dengan perkataan GR-Four dan pada bahagian sisi gerbang roda hadapan terdapat corong angin, bumbung gentian karbon dan rim aluminium 18 inci bagi melengkapi padanan gaya.

Ruang kabin dengan elemen prestasi sebaik melabuhkan punggung ke kerusi ia seakan-akan sudah menarik elemen dinamik serta keselasaan dengan kerusi semi-bucket material kulit dan ultrasuede larasan manual dan pada pelindung kepala terdapat logo GR serta pada bahagian karpet.

Pada papan pemuka dengan sistem infotainmen bersaiz sembilan inci dengan fungsi keterhubungan Apple Carplay dan Adroid Auto serta sebagai paparan kamera undur dan tetapan lain.

Untuk pemandu dengan meter digital sepenuhnya Paparan Maklumat-Pelbagai (MID) dengan antaramuka GR, mod Pacuan Semua Roda (AWD), tekanan turbo, indikasi kedudukan gera dan banyak lagi.

Pada roda stereng dengan Logo GR serta pelbagai fungsi lain untuk kemudahan pemandu, meter Head-Up Display, penyaman udara dwi-zon menjadikan perjalanan lebih selesa dan dingin.

Ruang but tidak terlalu luas, namun masih boleh meletak beberapa bagasi kecil dan dibawahnya ada kit penukar tayar tanpa tayar simpanan.

Kerusi belakang boleh memuatkan tiga dewasa menjadikan GR Corolla ini bukan sahaja untuk prestasi, malah dengan sentuhan ciri praktikal.

Untuk enjin ia didatangkan dengan 1,618cc tiga silinder selari, DOHC, pengecas turbo yang menjana kuasa 300PS pada 6,500 rpm dan tork 370Nm pada 3,000 hingga 5,000 rpm dengan trenkuasa AWD.

Sistem pacuan AWD GR-Four juga menyalurkan kuasa mengikut keperluan dan keadaan permukaan jalan atau ketika di litar dengan agihan 60:40, 50:50 atau 30:70.

Kotak gear manual enam kelajuan dengan Transmisi Manual Pintar (IMT) dengan tukaran gear pendek menjadikan ia sangat responsif, malah menukar gear mengikut kesesuaian kelajuan juga tidak terlalu sukar.

Penulis mencubanya dalam kesesakan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan sepanjang lebih dua kilometer meskipun tidak seselesa automatik, namun ia menginjak dengan baik sekali.

Ia juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport serta Kawalan Kestabilan Kenderaan, Kawalan Cengkaman dan Mod Litar yang boleh ditukar pada butang konsol bagi prestasi maksimum.

Apa lagi ketika melayan laluan lebuh raya pada laluan lurus atau selekoh panjang suspensi hadapan MacPherson Strut dan Double Wishbone pada belakang dengan penstabilan menjadikan lebih tepat pada laluan, namun sebagai jentera prestasi ia agak keras terutama melalui garisan tebal atau permukaan jalan tidak rata.

TAMPIL agresif.
TAMPIL agresif.

RUANG kabin sentuhan hitam dan jahitan merah.
RUANG kabin sentuhan hitam dan jahitan merah.

CIRI selesa dan praktikal.
CIRI selesa dan praktikal.

Secara keseluruhannya Toyota GR Corolla ini adalah jentera Hot-Hatch dengan prestasi yang maksimum serta rekaan yang agresif.

Menerusi logo GR pada bahagian hadapan dan belakang sudah cukup memperlihatkan yang ia dihasilkan daripada DNA sukan permotoran terutama rali.

Meskipun bagi tujuan prestasi ia didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik dengan tujuh beg keselamatan SRS, Perakam Video Digital (DVR) hadapan, Toyota Safety Sense (TSS) menerusi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Keluar Laluan (LDA), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Bantuan Menjejak Laluan (LTA), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) dan Pancaran Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Sistem brek terbaik dengan cakera Ventilated & Slotted dan angkup empat omboh Monoblock hadapan dan belakang dengan angkup dua omboh antara yang ditawarkan dengan warna merah dan logo GR.

Anggaran satu tangki penuh 50 liter bahan api mampu menjangkau sekitar 380 kilometer sahaja, namun sudah pasti ia semakin berkurang sebaik leka melayan kelajuan.

Toyota GR Corolla boleh dimiliki pada tanda harga RM355,000 (atas jalan tanpa insurans) dengan satu tempoh menunggu dan model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari kilang pembuatannya di Motomachi, Jepun.

SPESIFIKASI

TOYOTA GR COROLLA SERBA BAHARU

Enjin: 1,618cc 3 silinder selari, DOHC, pengecas turbo

Kuasa maksimum: 300PS pada 6,500 rpm

Tork maksimum: 370Nm pada 3,000 hingga 5,000 rpm.

Transmisi: Enam kelajuan manual dengan iMT

Kapasiti tangki petrol: 50 liter

Ciri keselamatan: Tujuh beg keselamatan SRS, Perakam Video Digital (DVR) hadapan, Toyota Safety Sense (TSS) menerusi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Keluar Laluan (LDA), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Bantuan Menjejak Laluan (LTA), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) dan Pancaran Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Harga: RM355,000 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 7:45 AM