EZ115 mematuhi piawaian EU4.
EZ115 mematuhi piawaian EU4.
Lizam Ridzuan


Motosikal cub sememangnya pilihan utama rakyat Malaysia sama ada untuk ke tempat kerja atau sebagai kenderaan utama mencari rezeki, terutama buat aktiviti P-hailing.

Pelbagai model 'berlambak' di pasaran dan terkini, Yamaha EZ115 Serba Baharu dengan ciri terbaharu serta terkini dilancarkan baru-baru ini di Genting Highlands.

Ia juga bersempena Malam Fesyen Yamaha 2023 anjuran Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).

Ia adalah model moped permulaan untuk Yamaha di negara ini bagi menggantikan Yamaha Lagenda 115Z yang sudah dihentikan pengeluarannya.

Untuk model EZ115 ini, ia diasaskan daripada model Yamaha Sirius untuk pasaran di Vietnam dengan ciri yang lebih sporty.

Ia dilengkapi lampu hadapan lebih terang, brek cakera tunggal hadapan, tempat duduk lebih selesa, kunci akses mudah untuk menghidupkan motosikal dan membuka tempat duduk, panel meter analog dengan indikasi Eco dan bateri.

Model ini juga dilengkapi ruang storan bawah tempat duduk, tangki bahan api 3.9 liter yang mampu menjangkau perjalanan sehingga 150 kilometer (km), penghidup jenis tendang dan elektrik serta rim tetuang.

CIRI selesa dan penjimatan bahan api.
CIRI selesa dan penjimatan bahan api.

Untuk pacuan, ia didatangkan dengan enjin suntikan bahan api sejukan udara selain silinder tunggal empat lejang yang mematuhi piawaian Euro4 menerusi janaan 114cc yang berkuasa 8.7PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5Nm pada 5,500rpm.

Enjin ini juga sudah terbukti prestasi dan ketahanannya di litar menerusi perlumbaan kategori CP115 dalam perlumbaan Cub Prix.

PANEL meter dengan indikasi Eco.
PANEL meter dengan indikasi Eco.

Malah EZ115 juga akan dipertandingkan dalam kategori 'One Make Race' untuk perlumbaan Cub Prix tahun ini.

Motosikal ini, dengan jarak kelegaan jalan 155mm, berat 98 kilogram (kg) dan ketinggian tempat duduk 775mm, sesuai buat tunggangan harian serta saiz fizikal rakyat Malaysia.

RUANG storan bawah tempat duduk.
RUANG storan bawah tempat duduk.

Menambah kestabilan tunggangan, ia dilengkapi suspensi hadapan teleskopik. Suspensi belakang pula dengan lengan ayun.

Bagi tayar hadapan, ia bersaiz 70/90-17 dan bagi tayar belakang, ia bersaiz 80/90-17.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu biru, merah dan cyan.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha EZ115 Serba Baharu dijual pada harga RM5,598 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 7:00 AM