Lizam Ridzuan

Sekitar 36 tahun lalu, penulis belajar menunggang motosikal menggunakan model cub yang ketika itu kebanyakannya tanpa klac.

Kemudian, model moped dengan klac separa automatik diperkenalkan sekitar 1990-an sebelum datang klac penuh sebelum ia menjadi pilihan bagi yang berjiwa prestasi sehingga kini.

Meskipun begitu, masih ramai yang selesa dengan motosikal cub tanpa klac (klac automatik) yang bukan sahaja memudahkan urusan tunggangan malah sesuai bagi kelancaran urusan seharian.

Antara model cub tanpa klac di pasaran ialah Yamaha 135 LC yang diperkenalkan pada 2006.

Pada Mac lalu, diperkenalkan pula Yamaha 135 LC FI 2022 Baharu yang tampil dengan kemasan rekaan baharu dan enjin dipertingkatkan.

Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan iaitu Standard dan Edisi Khas (S.E.) dengan perbezaan bakul premium serta warna.

REKAAN gaya sporty dan agresif.
REKAAN gaya sporty dan agresif.

Vroom berpeluang menunggang uji model varian SE baru-baru ini.

Jika melihat kepada reka bentuk model terbaharu ini, ia seakan-akan sama, namun terdapat beberapa kemasan yang diperbaharui terutama pada bahagian fairing hadapan.

Antara yang terbaharu ialah tambahan ciri aerodinamik pada corong udara serta lampu hadapan selain lampu posisi dan lampu belakang LED.

Ia juga didatangkan dengan meter digital LCD sepenuhnya dengan fungsi odometer, rpm dan maklumat perjalanan mudah untuk dilihat.

Bagi kemudahan penunggang, ia dilengkapi penghidup elektrik selain sistem bersepadu untuk kunci penghidup enjin serta membuka tempat duduk.

Untuk model S.E. ini, ia didatangkan dengan bakul premium Yamaha dengan ciri 2 dalam 1 yang direka khas bagi model ini.

KEMASAN rekaan ‘fairing’ ciri aerodinamik.
KEMASAN rekaan ‘fairing’ ciri aerodinamik.

ENJIN menepati piawaian EU4.
ENJIN menepati piawaian EU4.

Ia hadir dengan ruang meletak barangan manakala bahagian tertutup dilengkapi port pengecas USB.

Malah, ketika hujan, ruang simpanannya tetap kedap.

Yamaha 135 LC FI SE dikuasakan enjin 135cc baharu sejukan cecair empat lejang SOHC. Ia mampu menjana kuasa 12.5 kuasa kuda pada 8,000rpm dan tork 12.2Nm pada 6,000rpm.

Enjin itu datang dengan ciri suntikan bahan api yang mematuhi piawaian Euro 4 (EU4). Ia juga terasa 'ringan' dan lancar pada sebarang kelajuan.

Dengan kotak gear empat kelajuan Constant Mesh, ia memang sesuai buat perjalanan dalam bandar.

Ketika menunggang di lebuh raya, ia menawarkan kelajuan sehingga 120 kilometer/sejam (km/j) dan untuk versi standard, pada pandangan penulis, ia sudah cukup baik dengan saiz, berat jentera 109 kilogram (kg) dan kapasiti enjin sedia ada.

BAKUL Premium Yamaha.
BAKUL Premium Yamaha.

Tangki bahan api 4.6 liter juga lebih besar berbanding model terdahulu.

Dengan gaya tunggangan penulis yang 'memerahnya' pada kelajuan maksimun secara konsisten, jentera ini mampu menjangkau jarak perjalanan sehingga 110km.

Secara keseluruhan, Yamaha 135 LC FI SE menawarkan penggunaan dengan ciri mudah, namun ia dipadankan dengan enjin prestasi serta rekaan agresif.

POSISI menunggang ergonomik.
POSISI menunggang ergonomik.

Klac automatik juga antara kelebihan model ini kerana penunggang, sama ada lelaki atau wanita, mudah mengendalikannya.

Ciri keselamatan dengan brek cakera hadapan dan belakang, rim tetuang ciri inspirasi Yamaha 125Z, menambah elemen keselamatan dan gaya pada jentera ini.

Motosikal ini juga khusus untuk pasaran Malaysia. Ia dibangunkan bersama Yamaha Corporation daripada segi rekaan dan enjin.

METER digital LCD sepenuhnya.
METER digital LCD sepenuhnya.

BREK cakera hadapan dan belakang.
BREK cakera hadapan dan belakang.

Penulis juga berkesempatan bertanya kepada Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Datuk Dr Jim Khor yang mengatakan, model ini dihasilkan melalui kaji selidik pengguna.

Beliau juga menambah, ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan peminat jentera dua roda di Malaysia, bukan sahaja untuk tunggangan seharian, malah yang berprestasi dalam segmennya.

Penulis akui kenyataan itu kerana selain rekaan, ciri-ciri tambahan yang ditawarkan bukan sahaja menepati golongan sasar malah akan menjadi pilihan utama buat pembeli yang mahukan jentera yang berbaloi, termasuk harga alat ganti dan untuk jualan semula sebagai model terpakai.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha 135 LC FI ditawarkan dengan tiga warna untuk model standard iaitu Merah Ruby, Cyan Kristal dan Midnight Star.

Ia dijual pada harga RM7,798 (atas jalan tanpa insurans).

Untuk model Edisi Khas (SE) dengan warna 'Desert Storm', ia dijual pada harga RM8,198 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:30 AM