Lizam Ridzuan


SNIPER di Filipina, Exciter di Vietnam dan di Malaysia ia dikenali sebagai Yamaha Y16ZR.

Ia adalah jentera moped berteknologi tinggi jenama Yamaha di Asia Tenggara.

Untuk pasaran Malaysia, ia dilancarkan pada Mac lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Vroom berkesempatan menunggang ujinya baru-baru ini.

Sekali pandang, Y16ZR ini seakan-akan dengan model popular Y15ZR ataupun Y-Suku, namun ia berbeza terutama daripada segi rekaan dan teknologi.

Ia dibina di atas kerangka jenis 'backbone' baru serba ringan dengan tetulang bentuk Y serta pendakap enjin yang lebih tebal (4.5 milimeter).

Reka bentuk motosikal ini juga dilihat agak radikal terutama pada bahagian lampu utama yang dibahagikan kepada dua bahagian.

PELANA terpisah antigelincir.
PELANA terpisah antigelincir.

Untuk lampu utama, ia terletak di atas dan ia juga didatangkan dengan lampu nyalaan siang (DRL). Lampu pancaran jauh terletak pada bahagian bawah panel hadapan dan kesemuanya adalah daripada LED.

Pada bahagian sisi, ia datang dengan rekaan lebih sporty. Terdapat corong aliran udara serta sudut dan lekuk dua lapisan gaya aerodinamik padanya.

Pada bahagian belakang, lampunya diinspirasikan daripada model YZF-R1, namun dipadankan dengan lampu membelok halogen.

LAMPU Nyalaan Siang (DRL) dan lampu pancaran jauh.
LAMPU Nyalaan Siang (DRL) dan lampu pancaran jauh.

Panel meter LCD digital keseluruhan pula memaparkan odometer, tachometer, laras kedudukan gear, tahap bahan api, penunjuk Variable Valve Actuation (VVA), jarak perjalanan (trip) dan waktu. Ia mudah untuk dilihat dengan jelas.

Pada bahagian pemegang, ia dilengkapi suis pemati enjin baharu, lampu kecemasan dan lampu 'flash' yang biasanya hanya melengkapi model berkuasa tinggi.

Ia juga datang dengan sistem kunci pintar yang turut digunakan untuk model Yamaha NVX dan XMax.

SISTEM kunci pintar dan salur soket kuasa.
SISTEM kunci pintar dan salur soket kuasa.

Pelana tempat duduknya pula anti gelincir. Ia berketinggian 795 milimeter (mm) dan terpisah.

Ia menawarkan posisi menunggang selesa serta menyerlahkan gaya sporty dengan jahitan kuning tampil premium.

Y16ZR dikuasakan dengan enjin 155cc, empat injap, empat lejang manakala SOHC sejukan cecair dengan VVA memastikan aliran tenaga yang efisien.

METER digital LCD.
METER digital LCD.

Melalui transmisi enam kelajuan dan tuil gear lebih pendek 10mm daripada Y15ZR, ia menjana tukaran gear lebih mudah dengan janaan 17.7 kuasa kuda (hp) pada 9,500rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000rpm.

Menerusi sistem klac 'Assist dan Slipper' (A&S), penulis dapat merasakan tukaran gear yang pantas dan lancar. Ia membantu mengurangkan bebanan klac untuk perjalanan lebih selesa.

Melalui kerangka baru, ia juga menawarkan prestasi kawalan selekoh yang optimum pada kelajuan tinggi dan antara kelebihan moped ini.

Tangki bahan api 5.4 liter mampu menjangkau perjalanan sehingga 256 kilometer (km) yang dinyatakan oleh Yamaha namun bergantung kepada corak, bebanan dan gaya tunggangan.

Secara keseluruhan, Yamaha Y16ZR adalah moped seakan-akan teknologi motosikal berkuasa tinggi dengan enjin 155cc.

Reka bentuk menarik dengan ciri keselamatan seperti sistem brek cakera 245mm dengan angkup dua piston pada roda hadapan manakala bahagian belakangnya menggunakan angkup tunggal.

ENJIN 155 dengan VVA.
ENJIN 155 dengan VVA.

Bagaimanapun, penulis beranggapan, lebih baik jika jentera ini didatangkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk menambah keyakinan penunggang terutama untuk membrek.

Suspensi hadapan teleskopik dan lengan ayun pada belakang dengan penyerap hentakan tunggal belakang pada larasan yang baik, tidak terlalu lembut untuk gaya tunggangan prestasi.

Saiz tayar hadapan 90/80 dan belakang 120/70 dengan rim tetuang lima jejari bersaiz 17 inci menjadikan pengendaliannya lebih stabil.

Posisi menunggang juga selesa sama ada untuk mencelah di dalam bandar ataupun jika melakukan perjalanan jarak jauh.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Kelabu Phantom, Biru Arrow dan Kuning Racing seperti unit tunggang uji ini dengan harga jualan RM10,888 (atas jalan tanpa insurans).

MOPED berprestasi.
MOPED berprestasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 6:44 AM