Lizam Ridzuan

POSISI menunggang santai ala ‘motard’.
POSISI menunggang santai ala ‘motard’.

Yamaha MT-25 First Edition melengkapi siri MT yang terdapat di negara ini selepas pengenalan model MT-09 dan MT-07 dalam segmen 'hyper-naked' yang memasuki pasaran tempatan sejak 2014.

Model ini yang dilancarkan pada September lalu mengekalkan ciri DNA yang sama dan tampil garang untuk golongan sasarnya.

Vroom berkesempatan menunggang uji model ini untuk menilai prestasi dan gaya yang ditawarkan bagi siri 'Master Of Torque' terkecil ini.

Melihat kepada rekaan luaran, ia diasaskan daripada model YZF-R25 yang boleh dilihat jelas pada bahagian belakang.

Namun bagi mengekalkan DNA siri MT, pada bahagian tangki dan ke hadapan, ia direka dengan ciri-ciri segmen 'naked' terutama pada bahagian lampu hadapan dan dwi-lampu nyalaan siang (DRL) dengan gaya 'predator' tampak unik dari hadapan.

Selain jelas untuk pencahayaan, lampu utama sangat terang pada waktu malam terutama untuk pancaran jauh bagi keselamatan menunggang.

Untuk bahagian belakang, dengan lampu LED dan lampu membelok, walaupun kecil, namun jelas dengan teknologi biasan.

YAMAHA MT-25 rekaan ranggi.
YAMAHA MT-25 rekaan ranggi.

Malah lampu kecemasan boleh dinyalakan meskipun enjin tidak dihidupkan.

'Scoop' kemasukan udara pada bahagian sisi bukan sekadar gaya. Melihatkan model ini yang lebih besar, ia berfungsi untuk aliran angin yang baik bagi membantu menyejukkan enjin dan kaki penunggang.

Bagi pengendalian, ia didatangkan dengan fork teleskopik terbalik, brek cakera hadapan dan belakang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk keselesaan serta memberhentikan jentera dengan lebih baik.

ENJIN 250cc dua silinder.
ENJIN 250cc dua silinder.

SCOOP udara untuk fungsi dan kemasan.
SCOOP udara untuk fungsi dan kemasan.

Posisi menunggang lebih tegak gaya 'motard' sesuai dengan gaya motosikal 'naked'.

Tangki bahan api itu juga selesa untuk kedua kaki berpaut dengan ketinggian pelana 780 milimeter (mm).

Ia membolehkan penulis yang berketinggian 176 sentimeter (sm) meletakkan kaki di jalan dengan selesa.

Panel meter LCD digital penuh dengan fungsi kedudukan gear, odometer, rpm, tahap bahan api, jarak perjalanan (trip) dan paparan waktu juga jelas dan mudah dilihat.

Untuk prestasi, MT-25 didatangkan dengan enjin 249cc, dua silinder selari DOHC menjana kuasa 35.1PS pada 12,000rpm dan tork 22.6Nm pada 10,000rpm melalui transmisi enam kelajuan 'Constant Mesh'.

LAMPU belakang LED.
LAMPU belakang LED.

SISTEM penghidup enjin.
SISTEM penghidup enjin.

Enjin ini juga mematuhi piawaian Euro4 untuk kadar pelepasan emisi lebih rendah bagi membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Jentera ini menghasilkan prestasi yang responsif namun mudah dikendalikan terutama ketika mencelah dalam kesesakan jalan raya.

Di atas lebuh raya pula, ia tidak mengecewakan. Dengan kapasiti enjin sebegini, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 160 kilometer/sejam (km/j) dan masih lagi stabil.

Melayan selekoh juga seronok kerana saiznya yang 'lightweight', tidak terlalu besar dengan berat 169 kilogram (kg).

Lengan hayun belakang berfungsi baik menyerap permukaan laluan malah jentera juga stabil dengan tayar belakang bersaiz 140/70 dan hadapan 110/70 hadapan.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat Yamaha MT-25 ini bakal menjadi model pilihan sesuai buat mereka yang mahu menaik taraf daripada moped ke jentera street yang bergaya.

Berbekalkan kapasiti enjin 250cc, ia membolehkan pembeli tidak perlu menukar lesen B2 kepada B.

Ia juga satu kelebihan dalam pasaran terutama bagi mereka yang ingin menikmati tunggangan.

Selain prestasi dengan tangki bahan api 14 liter, ia mampu menjangkau jarak perjalanan hampir 300km, bergantung kepada corak dan gaya tunggangan.

Penulis berpendapat, ia adalah jentera serba boleh sama ada untuk kegunaan berulang-alik ke tempat kerja, melayan laluan selekoh atau ke litar serta melakukan perjalanan jarak jauh.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-25 First Edition dengan slogan 'Rush Of Darkness' ini didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu 'Ice Fluo' dan 'Yamaha Blue' yang dijual pada harga RM21,500 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 6:12 AM