Lizam Ridzuan

Pasaran motosikal tempatan untuk kategori supermoped 150cc hingga 180cc semakin rancak dengan pengenalan model terbaharu.

Antara yang menarik ialah Honda RS-X yang menawarkan bukan sahaja enjin berprestasi malah rekaan yang sporty dan ranggi.

Vroom berkesempatan menunggang uji model yang juga dikenali sebagai Winner-X untuk pasaran Vietnam.

SUPERMOPED Honda RS-X.
SUPERMOPED Honda RS-X.

Ia tampil futuristik terutama pada bahagian hadapan dengan lampu LED yang terletak pada bahagian bawah penutup hadapan.

Seakan-akan reka bentuk skuter Honda Vario dan sentuhan jentera street CBR150R, ia tampil agresif dan elemen itu diterapkan ke bahagian sisi dan belakang yang turut dilengkapi dengan lampu LED.

Ekzos dengan bentuk muffler yang sporty menjadi padanan kepada keseluruhan rekaan.

ENJIN 150cc PGM-FI.
ENJIN 150cc PGM-FI.

Tambah menyerlah, ia datang dengan rekaan lampu membelok yang terasing.

Selain fork teleskopik, ia juga dilengkapi brek cakera tunggal untuk bahagian hadapan.

Bagi bahagian belakang, ia datang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) satu saluran.

Untuk roda depan, model ini menawarkan tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 manakala bagi tayar belakang, ia bersaiz 120/70.

METER digital LCD.
METER digital LCD.

Ia didatangkan dengan enjin empat lejang 149cc, silinder tunggal, DOHC, sejukan cecair 'Programmed Fuel Injection' (PGM-FI) yang menjana kuasa maksimum 15.8 kuasa kuda (hp) pada 9,000rpm dan tork 13.6Nm pada 7,000rpm.

Melalui transmisi klac enam kelajuan manual, ia memerlukan penulis bermain dengan kedudukan gear yang betul untuk mengekalkan kelancaran kelajuan.

Kedudukan posisi menunggang pula gaya moped dengan pemegang sedikit rendah berbanding model Honda RS150R.

Sudah pasti, di jalan lurus, ia memberikan pengendalian terbaik malah ketika melayan selekoh, ia juga menawarkan kawalan yang tepat dengan suspensi belakang monoshock.

Dengan saiz ideal dan berat sekitar 122 kilogram (kg), ia mudah melepasi laluan dalam bandar terutama ketika kesesakan lalu lintas selain mampu memecut dengan lancar di lebuh raya.

SUSPENSI belakang monoshock.
SUSPENSI belakang monoshock.

Secara keseluruhan, motosikal ini memiliki ciri-ciri supermoped yang menjadi idaman ramai. Ia juga diberi penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Honda juga melengkapi enjinnya dengan sistem PGM-FI untuk pembakaran bahan api lebih sempurna dan pada masa sama, menawarkan emisi lebih rendah bagi mengurangkan pencemaran pada alam sekitar serta mematuhi piawaian Euro-4.

Menerusi tangki bahan api 4.5 liter, ia mampu menjangkau perjalanan lebih 110km dengan penulis memulas pendikit pada tahan maksimum sepanjang masa.

Namun jika anda menunggang dengan kelajuan biasa, sudah pasti jentera ini mampu menjangkau jarak lebih 200km dengan satu tangki penuh.

Honda RS-X baharu boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Trico Edition, Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow.

Ia ditawarkan pada harga RM9,550 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 6:47 AM