HONDA Beat serba baharu.
HONDA Beat serba baharu.
Lizam Ridzuan


MODEL Honda Beat mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2016 dan skuter pertama yang mendapat penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia.

Ia sesuai sebagai tunggangan kepada golongan pelajar dan generasi muda malah dalam suasana sekarang, ia juga ideal bagi kegunaan dalam bandar terutama untuk khidmat penghantaran.

Vroom menunggang uji skuter Honda Beat Serba Baharu yang dilancarkan ke pasaran tempatan Oktober lalu yang dilengkapi beberapa ciri terbaharu.

Sebagai skuter permulaan jenama Honda di Malaysia, ia kini diperkemaskan dengan ciri rekaan terkini seperti rekaan lampu hadapan LED yang lebih jelas pencahayaannya.

Panel meter juga diperbaharui termasuk penunjuk ECO untuk kemudahan maklumat kepada penunggang selain mengekalkan ciri digital bagi odometer dan tahap bahan api.

Selain rekaan corak grafik baharu, Honda Beat ini juga didatangkan dengan kluster kunci terbaharu dengan pembuka tempat duduk yang sebelum ini perlu dibuka pada bahagian belakang.

STORAN bawah tempat duduk ditambah 0.5 liter.
STORAN bawah tempat duduk ditambah 0.5 liter.

Ruang storan bawah tempat duduk juga ditambah kepada 11.7 liter daripada 11.2 liter yang boleh memuatkan barangan keperluan seperti baju hujan namun tidak boleh memuatkan topi keledar.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan rekaan rim baharu, lampu belakang moden dan lampu membelok yang diperkemaskan.

Untuk tunggangan, ia dibekalkan dengan enjin eSP 109.5cc SOHC sistem pembakaran suntikan bahan api terancang (PGM-FI) menjana kuasa 8.7hp pada 7,500 rpm dan tork maksimum 9.53Nm pada 5,500rpm yang memenuhi piawai Euro 4.

Melalui transmisi CVT dengan tali sawat - V automatik, ia dikatakan mampu mencatat penggunaan bahan api sekitar 59.1 kilometer (km) untuk setiap satu liter.

Melalui pengalaman penulis, tenaga yang dialirkan cukup responsif pada laluan dalam bandar dengan kelajuan maksimum sekitar 105 kilometer/sejam (km/j).

REKAAN kompak dan enjin 110cc responsif.
REKAAN kompak dan enjin 110cc responsif.

Meskipun bersaiz kompak dengan berat 90 kilogram (kg), namun ia dibekalkan dengan rangka dengan teknologi 'enhance Smart Architecture Frame' (eSAF) baru untuk lebih mudah dikendalikan.

Ia dipadankan dengan suspensi hadapan teleskopik dan lengan ayun belakang tunggal dan saiz roda 14 inci.

Brek cakera hadapan dan dram pada belakang menggunakan sistem brek CBS

Secara keseluruhan, Honda Beat Serba Baharu ada kelebihan tersendiri buat mereka yang mahukan jentera mobiliti ringkas dan responsif.

RUANG simpanan dan penyangkut.
RUANG simpanan dan penyangkut.

Ruang simpanan terbuka amat berguna terutama sekali untuk meletak barangan kecil serta dengan penyangkut.

Elemen keselamatan tambahan dengan tuas penguncian brek baru untuk mencegah pemecutan secara tidak sengaja apabila motosikal berhenti penting juga untuk skuter.

Ciri kendaliannya mudah malah dilengkapi penghidup elektrik dan tendang.

Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.2 liter dan mampu menjangkau perjalanan sehingga 160km bergantung kepada corak dan gaya tunggangan.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Merah Vivacity, Perak Metalik Force, Biru Mutiara Nightfall dan Merah Jambu Space Metalik.

PANEL meter baharu.
PANEL meter baharu.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM5,555 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun atau 20,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:10 AM