Mohammad Asyraf Khalib

PENGELUAR motosikal terkemuka, Boon Siew Honda memperkenalkan Honda RS-X baharu dengan sentuhan Super Sport, menawarkan gabungan gaya sporty, prestasi unggul dan pelbagai ciri terkini kepada pengguna.

Dari segi rekaan, Honda RS-X tampak bergaya dengan penampilan 'full cowl' yang direka secara aerodinamik, muka hadapan yang agresif dengan dwi-lampu LED dan 'sleek super slim tail'.

Penyertaan sistem lampu LED penuh bukan sahaja menjadikan Honda RS-X sebagai tarikan baharu saat berada di jalan raya, tetapi ia juga meningkatkan daya penglihatan ketika menunggang dalam pelbagai keadaan. 

Selain itu, ekzos Honda RS-X direka seakan motosikal berkuasa tinggi, menawarkan ngauman bunyi yang memukau sekali gus menaikkan gayanya tersendiri seakan berada di litar perlumbaan.

Image

Lebih mengagumkan, Honda RS-X dikuasakan dengan enjin Double Overhead Camshaft (DOHC) jenis penyejuk cecair 150cc yang digabungkan dengan transmisi kuasa enam kelajuan.

Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.8 kW @9,000rpm dan tork maksimum 13.6Nm @7,000 rpm, menawarkan kelajuan tinggi dan pecutan responsif terbaik dalam kelasnya.

Sementara itu, teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-FI) pula menawarkan penjimatan bahan api yang ketara di samping mengurangkan pencemaran.

Honda RS-X turut dilengkapi dengan ciri keselamatan berteknologi tinggi seperti sistem brek anti-kunci (ABS) satu saluran yang memberi pengalaman tunggangan lebih selesa dan yakin ketika membrek. 

Sebagai nilai tambah, Honda RS-X disertakan pelbagai kemudahan lain bagi meningkatkan kepuasan pengguna seperti suis pembuka tempat duduk, 'sealed chain drive' dan Speedometer Digital penuh.

Selain menawarkan tunggangan yang santai dan selamat, model RS-X serba baharu ini juga mesra alam dengan mematuhi piawaian EURO 4.

Image

Sementara itu, majlis pelancaran Honda RS-X hanya diadakan secara maya susulan sekatan pandemik yang berterusan. 

Ia diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn Bhd, Yoshitaka Nakamura dan dilancarkan oleh Ketua Pegawai Operasi Serantau (Asia & Oceania), Honda Motor Co, Ltd, Masayuki Igarashi.

Turut hadir dalam majlis sama, Duta Honda Motosikal di Malaysia, Aman RA, serta Penunggang Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Zaqhwan Zaidi. 

Honda RS-X baharu boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Trico Edition, Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow. 

Ia ditawarkan pada harga RM8,688, tidak termasuk cukai jualan, insurans dan pendaftaran. Penghantaran kepada semua pengedar sah akan bermula tidak lama lagi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Honda RS-X, pelanggan boleh mengunjungi pengedar Honda berhampiran, hubungi nombor Bebas Tol Honda di 1-800-88-3993 atau layari www.boonsiewhonda.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 9:07 AM