PEUGEOT 3008 dan 5008 tampil kemasan elegan baharu
PEUGEOT 3008 dan 5008 tampil kemasan elegan baharu
Lizam Ridzuan


REKAAN luaran dan dalaman ciri premium menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) Peugeot 3008 dan 5008 tampil berbeza dalam pasaran Malaysia.

Kedua-dua model peningkatan ini diedar syarikat baharu, Bermaz Auto Alliance yang juga pengedar tunggal jenama Peugeot di negara ini.

Ia adalah model pemasangan tempatan (CKD) di kilang pengeluaran milik Stellantis di Gurun, Kedah.

Turut diadakan sesi pandu uji khas untuk media ke Genting Highlands bagi menilai prestasi enjin yang ditawarkan selain kemasan luaran dan kabin baharu sebaik pelancarannya.

Berkongsi platform yang sama, kedua-dua model ini memiliki bampar hadapan dan gaya gril tanpa bingkai.

Ini diserlahkan dengan lampu hadapan yang direka semula untuk tampil lebih agresif dan teknologi LED dengan lampu selekoh.

BAHAGIAN belakang dengan lampu elemen 3D.
BAHAGIAN belakang dengan lampu elemen 3D.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi lampu yang diperbaharui dengan ciri tiga dimensi. Ia berbentuk seakan-akan cakaran singa yang juga signatur Peugeot.

Antara yang diperbaharui ialah rim aloi 18 inci Los Angeles untuk Peugeot 3008 dan Detroit untuk 5008 selain bumbung panorama, pintu belakang elektrik, kemasukan tanpa kunci termaju serta pengesan parkir hadapan juga belakang.

Ruang kabin kekal dengan sentuhan gaya seni dan kemasan kelas tersendiri.

Ia menawarkan lima tempat duduk untuk 3008 dan tujuh untuk model 5008.

Selain tampil luas, kedua-duanya dilengkapi teknologi i-Cockpit digital Peugeot dengan paparan kluster meter 12.3 inci serta meter heads-up dan sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 10 inci.

Ciri lain, tujuh butang fungsi dengan gaya bentuk piano dan keterhubungan Apple Carplay, Android Auto serta pengecas telefon tanpa wayar pada konsol tengah.

Peugeot 3008 dan 5008 dilengkapi mod pencahayaan kabin, kerusi larasan elektrik enam ketetapan dan mod pemanduan Sport.

RUANG kabin elegan.
RUANG kabin elegan.

REKAAN konsol tengah dan butang ciri piano.
REKAAN konsol tengah dan butang ciri piano.

Kedua-dua model ini dipadankan dengan enjin 1.6 liter Twin Scroll Turbo Bertekanan Tinggi (THP) Pemasaan Injap Bolehubah (VVT).

Ia mampu menghemburkan 165 kuasa kuda (hp) dan tork 240Nm.

Untuk kelancaran, ia didatangkan dengan transmisi enam kelajuan automatik dengan pacuan dua roda (2WD).

Antara ciri keselamatannya, Pengesan Titik Buta Aktif dan Bantu Kekal Lorong.

Ia juga datang dengan beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek Kecemasan (EBA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC).

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu 'Amazonite Grey', 'Pearl White' dan 'Nera Black' serta warna khusus untuk model 3008 iaitu 'Cuprite Brown' dan 'Emerald Crystal' untuk 5008.

Untuk pasaran Malaysia, kedua-duanya ditawarkan dengan satu varian iaitu Allure menerusi Peugeot 3008 yang dijual pada harga RM161,616 dan Peugeot 5008 pada harga RM177,311 (atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan)

ENJIN 1.6 liter turbo.
ENJIN 1.6 liter turbo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:00 AM