Lizam Ridzuan


TIGA tahun lalu, model serba baharu Peugeot 3008 SUV Plus dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Eropah 2017.

Rekaan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini pula cukup ranggi dan sporty.

Model ini diperkenalkan ke pasaran tempatan tiga tahun lalu melalui import sepenuhnya dan pada 2019, versi pemasangan tempatan (CKD) diperkenalkan.

Dua varian ditawarkan iaitu Active dan Vroom berpeluang memandu uji varian Allure yang juga varian tertinggi buat model ini.

Beberapa kemasan membezakannya dengan model terdahulu, namun secara keseluruhan, ia mengekalkan elemen yang sama.

RUANG kabin rekaan termaju.
RUANG kabin rekaan termaju.

Ia boleh dilihat melalui rekaan gril hadapan 'chequered wide grille' manakala lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siangnya (DRL) menambah sentuhan elegan.

Untuk versi ini, ia didatangkan dengan rel bumbung dan cermin sisi krom serta rim aloi 18 inci dua tona yang diberi nama 'Los Angeles'.

Bahagian belakang dengan kemasan hitam berkilat digabungkan dengan lampu signatur LED 3D konsep 'kuku' singa yang terdapat pada semua model Peugeot.

Menjengah ke ruang dalaman, rekaan kabinnya cukup berkualiti.

Papan pemuka termajunya menampilkan Peugeot i-Cockpit, ia adalah inovasi terbaik dihasilkan untuk kemudahan pemandu dan penumpang.

Skrin sesentuh bersaiz lapan inci dilengkapi pelbagai fungsi ketersambungan multimedia dan telefon, fungsi radio, kawalan suhu, navigasi, parameter dan aplikasi lain.

Ia juga didatangkan dengan kluster paparan meter 12.3 inci khusus buat pemandu yang boleh diubah gayanya secara individu mengikut mod pemanduan.

Ia juga menawarkan pelbagai maklumat perjalanan.

Selain itu, butang larasan fungsi seperti piano pada konsol hadapan tengah menambah keunikan yang bukan sekadar gaya malah berguna untuk kemudahan seisi penumpang.

Kerusi belakangnya berdasarkan susunan modular 2/3 ke 1/3 'magic flat'.

BAHAGIAN penumpang selesa.
BAHAGIAN penumpang selesa.

Peugeot 3008 SUV Plus dilengkapi enjin 1.6 liter THP yang menawarkan teknologi suntikan terus bertekanan tinggi dan pengecas turbo termaju.

Ia menghamburkan kuasa 167PS dan tork 240Nm dengan kelajuan maksimum mencecah 206 kilometer/sejam (km/j) dan penggunaan bahan api sekitar 6.5 liter untuk setiap 100km.

Penulis mencuba beberapa mod pemanduan yang ditawarkan seperti sport yang mana ia akan mengeluarkan bunyi sporty tiruan (artificial sound) untuk memberikan lebih 'rasa' prestasi ketika memandunya.

Secara keseluruhan, Peugeot 3008 SUV Plus adalah satu daripada pilihan menarik SUV dalam segmen C dengan kelebihan tersendiri seperti rekaan luaran dan dalaman lebih maskulin dan elegan.

Ruang dalaman selesa serta lampu suasana berwarna biru menambah gaya elegan dan kesenian rekaan kabin bermutu tinggi seperti kebanyakan produk fesyen serta gaya hidup dari Perancis.

Ciri keselamatan terbaik seperti rekaan kerangka berketahanan tinggi dan kukuh, enam beg keselamatan, sistem pengecaman had kelajuan, amaran tumpuan pemandu, serta sistem bantuan pemandu termaju seperti bantu parkir hadapan dan belakang, bantu mula bukit, kamera undur 180 darjah dan amaran pelepasan lorong turut disediakan.

LAMPU belakang signatur.
LAMPU belakang signatur.

Melalui lima mod pemanduan iaitu normal, mud, sand, snow dan ESP off, ia memberikan pengalaman pemanduan berbeza mengikut keperluan pemandu.

Ciri lain ditawarkan ialah bumbung panorama, pintu but elektrik dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Lima warna ditawarkan dan Peugeot 3008 Allure SUV Plus dijual pada harga RM158,236 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun atau 120,000km, yang mana lebih dahulu.

PEUGEOT 3008 kekal gaya Eropah.
PEUGEOT 3008 kekal gaya Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:15 AM