Mohd Razlan Salleh


NASIM Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan jenama Peugeot melancarkan model terbaru kenderaan utiliti sukan (SUV) Peugeot 5008 Serba Baru yang lebih praktikal dan eksklusif.

Model tujuh tempat duduk daripada segmen C itu menawarkan ruang dalaman luas, sekali gus memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan sebuah SUV selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasim Sdn Bhd Yasser Awan berkata, pelancaran model berkenaan menjadi penanda aras bagi model SUV pada masa akan datang.

“Peugeot 5008 Serba Baru jelas berbeza berbanding pesaing lain dengan pelbagai ciri terbaru dan pemanduan terbaik.

“Sebagai sebuah SUV, model ini juga dianggap sangat praktikal dengan kapasiti tujuh tempat duduk," katanya ketika pelancarannya di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings Sdn Bhd Datuk Samson Anand George dan Pengarah Urusan PSA Groupe (Operasi ASEAN) Lionel Faugures.

KENDERAAN utiliti sukan (SUV), Peugeot 5008 serba baru lebih praktikal dan eksklusif. FOTO SUPIAN AHMAD
KENDERAAN utiliti sukan (SUV), Peugeot 5008 serba baru lebih praktikal dan eksklusif. FOTO SUPIAN AHMAD

Bersaiz 4,641 milimeter (mm) panjang dan 1,844 mm lebar, Peugeot 5008 Serba Baru tampil dengan enjin 1.6L THP Turbo dengan kuasa 167 PS pada 6,000 rpm,

manakala daya kilas maksimum 240 Nm pada 1,400 rpm bersama transmisi automatik enam kelajuan Quickshift Tech.

Kelajuan maksimum dicatatkan adalah 206 kilometer sejam (km/j), sementara tahap penggunaan bahan api sekitar 7.3 liter per 100 kilometer.

Antara ciri terkini termasuk penggunaan LED pada lampu hadapan, belakang dan lampu kabus serta rim bersaiz 18 inci.

Ruang dalaman pula didatangkan bersama paparan pelbagai fungsi skrin sentuh bersaiz lapan inci, pembesar suara Arkamys 3D, balutan kulit hitam Claudio dan lampu kabin LED.

Berharga RM173,888 tanpa insurans, empat warna ditawarkan antaranya Kristal Emerald, Kelabu Amazonite, Hitam Nera dan Putih Pearlescent.

Model ini turut didatangkan dengan jaminan lima tahun, Bantuan 24 Jam Peugeot dan keahlian SkyLouge By Naza di Subang Skypark.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 4:59 PM