5008 SUV Plus.
5008 SUV Plus.
Lizam Ridzuan

MODEL Peugeot 3008 serba baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2017 yang mengangkat laras baharu segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk pasaran global dan tempatan dengan menampilkan ciri rekaan berkelas tinggi.

Tahun berikutnya, model Peugeot 5008 serba baharu pula dilancarkan. Ia menawarkan SUV segmen C tujuh tempat duduk yang dilengkapi prestasi enjin yang efisien dan keselesaan maksimum.

Meneruskan kesinambungan penawaran model-model menarik, Nasim Sdn Bhd selaku pengedar utama kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, melancarkan Peugeot 3008 SUV Plus dan Peugeot 5008 SUV Plus baharu, baru-baru ini.

5008 dengan tujuh tempat duduk.
5008 dengan tujuh tempat duduk.

Sebagai model yang memenangi banyak anugerah terbaik tahunan peringkat tempatan dan antarabangsa, ia ditambah dengan ciri-ciri baharu bagi kemudahan dan keselamatan terbaik untuk kenderaan jenama Perancis itu.

Berbanding model lalu, kedua-duanya didatangkan dengan bumbung panorama serta rim aloi 18 inci dua tona kemasan corak berlian dan ekzos krom berkembar.

Model 3008 datang dengan rekaan rel bumbung baharu serta pintu belakang bebas tangan automatik yang memudahkan urusan kemasukan ruang kargo jika tangan penuh dengan barangan.

3008 SUV Plus.
3008 SUV Plus.

Bagi ruang dalaman, selain sistem i-Cockpit Amplified baharu dan skrin warna sesentuh lapan inci pelbagai fungsi termasuk sistem navigasi binaan dalam, ia juga didatangkan dengan kerusi hadapan larasan elektrik.

Sistem Bantuan Pemandu Termaju juga disediakan seperti Amaran Pelepasan Laluan Aktif dan pembetulan laluan, Sistem Maklumat Titik Buta (BLISS), Bantu Mula Bukit dan kamera undur 180 darjah.

Model-model ini berkongsi enjin 1,598cc ‘Twin Scroll Turbo High Pressure’ (THP) dengan Suntikan Petrol Terus serta Pemasaan Injap Boleh Ubah (VVT) yang mampu menghasilkan kuasa 167PS pada 6,000rpm dan tork sehingga 240Nm daripada 1,400rpm.

PINTU belakang automatik untuk 3008.
PINTU belakang automatik untuk 3008.

Ia juga didatangkan dengan sistem keselamatan seperti enam beg udara, lima mod pemanduan (normal, ESP off, snow, mud dan sand), Sistem Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengawal Anti-Gelinciran (ASR) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (DSC).

Peugeot 3008 SUV Plus baharu dijual pada harga RM150,888 (Active) dan RM163,888 (Allure).

Peugeot 5008 SUV Plus baharu pula dijual pada harga RM166,888 dan RM179,888, masing-masing untuk varian Active dan Allure.

RUANG dalaman elegan.
RUANG dalaman elegan.

Semua didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Kelabu Amazonite, Hitam Nera, Kelabu Aster, Putih Pearl serta tambahan warna baharu Metallic Cooper (3008 SUV Plus) dan Emerald Crystal (5008 SUV Plus).

Semua model Peugeot didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 120,000 kilometer yang mana lebih dahulu, tiga tahun servis percuma, bantuan jalanan Peugeot 24 jam dan ruang menunggu eksklusif di SkyLounge oleh Naza di Subang Skypark. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:00 AM