GAYA SUV kompak.
GAYA SUV kompak.
Lizam Ridzuan


Peugeot cukup dikenali sebagai jenama kenderaan yang berciri unik serta berkualiti malah kenderaan berkenaan juga mendapat permintaan baik di pasaran tempatan.

Antara yang sempat dipandu uji oleh Vroom ialah Peugeot 2008 Serba Baharu yang sudah pun berada dalam pasaran sejak Januari tahun lalu.

Ia dilancarkan untuk pasaran global pada 2019.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini tampil berbeza daripada generasi sebelumnya malah ia cukup menyerlah.

Peugeot 2008 adalah SUV crossover dalam segmen B yang tampil lebih kompak dan 'sporty'.

Ia tampil dengan satu varian iaitu 'Allure'. Antara cirinya ialah lampu LED serta lampu nyalaan siang umpama 'taring' singa.

Ia juga datang dengan gril elemen krom bercorak terkini serta kombinasi lampu belakang LED dengan corak signatur 'cakaran singa' yang juga terdapat pada semua model SUV Peugeot.

Rim aloinya yang bercorak potongan berlian pula bersaiz 17 inci. Ruang dalamannya, seperti model SUV Peugeot lain, datang dengan ciri 3D i-Cockpit iaitu sistem dengan corak tiga dimensi unik serta menarik.

Meter ini berada pada kedudukan agak tinggi, ia bagi memudahkan pemandu melihat dengan lebih jelas.

Paparan maklumat tersedia juga membolehkan pemandu lebih fokus kepada pemanduan.

ELEMEN sporty dan elegan.
ELEMEN sporty dan elegan.

Penulis menggemari rekaan roda stereng teleskopik yang selesa untuk dipegang. Ia juga dilengkapi butang fungsi untuk sistem audio dan telefon.

Pada bahagian papan pemuka, selain 'butang piano' penyaman udara, ia turut menampilkan sistem infotainmen skrin sesentuh menerusi keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto bersaiz 7 inci serta enam pembesar suara.

SUV ini dilengkapi enjin 1,119cc Pure Tech Turbo, 3 silinder DOHC 12 injap dwi-VVT yang menjana 130 kuasa kuda (hp) pada 5,500rpm dan tork 230Nm pada 1,750rpm.

Kuasanya dilancarkan dengan transmisi enam kelajuan automatik dan sangat responsif di lebuh raya selain lincah di bandar.

KABIN ciri elegan dan unik.
KABIN ciri elegan dan unik.

Penulis mencuba pemanduan pada pelbagai kelajuan. Pada kelajuan tinggi serta selekoh, SUV ini menawarkan kestabilan menerusi suspensi MacPherson Struts di depan dan 'torsion beam' di belakang.

Dengan saiznya yang kompak, SUV ini juga mudah menyelinap ke kawasan dengan ruang terhad.

Secara keseluruhannya, Peugeot 2008 Serba Baharu ini meneruskan ciri SUV rekaan terbaik dengan kemasan elegan Eropah.

Ia didatangkan dengan janaan kuasa menerusi enjin yang memenangi pelbagai anugerah.

KERUSI belakang selesa dan praktikal.
KERUSI belakang selesa dan praktikal.

Ciri keselamatannya juga terbaik. Ia dilengkapi antaranya enam beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA).

Meskipun dihamburkan dengan kuasa turbo, namun ia menawarkan penggunaan bahan api efisien dengan 43 liter tangki bahan mampu menjangkau perjalanan sehingga 600 kilometer (km), bergantung kepada muatan dan corak pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Ia menawarkan warna oren, kelabu, hitam dan putih. Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM130,888.

ENJIN 1.2 liter turbo
ENJIN 1.2 liter turbo

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 6:16 AM