Desakan hidup antara punca utama ramai golongan berpendapatan rendah (B40) menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di luar negara.
Desakan hidup antara punca utama ramai golongan berpendapatan rendah (B40) menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di luar negara.
Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Desakan hidup antara punca utama ramai golongan berpendapatan rendah (B40) menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di luar negara.

Selain daripada itu, tawaran pendapatan lumayan tanpa memerlukan taraf pendidikan tinggi didapati antara tipu helah yang kerap digunakan sindiket berkenaan bagi memancing individu yang terdesak.

Itu antara punca yang menarik ramai warga Malaysia mahu bekerja di negara jiran walaupun kebanyakan negara terbabit jauh ketinggalan daripada segi pembangunan teknologi dan ekonomi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataannya berkata, sebanyak 331 laporan polis diterima membabitkan penipuan tawaran kerja ke atas 436 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia sejak 2021 hingga 1 Januari lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 313 mangsa terdiri daripada 256 lelaki dan 57 wanita berjaya diselamatkan manakala 123 individu masih terkandas di negara jiran.

"Berdasarkan keterangan 121 mangsa yang selamat pulang mendapati kebanyakan daripada mereka merupakan golongan B40 dan mempunyai masalah ekonomi.

"Faktor kewangan (peribadi) membuatkan mereka mudah terdedah dan tertarik dengan tawaran gaji yang lumayan dan ditambah dengan kemudahan (penginapan, pengangkutan, tiket) yang disediakan sindiket," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

JSJ Bukit Aman berkata, ada juga antara individu menjadi mangsa akibat ditipu rakan atau kenalan yang sudah terjebak dengan kegiatan penipuan di negara jiran.

Selain itu, katanya, ada juga segelintir mangsa sedar berhubung jenis pekerjaan sebenar yang bakal mereka lakukan di negara terbabit namun tetap pergi dengan rela atas sebab tertentu.

"Peluang pekerjaan yang mudah di luar negara termasuk di Asia Tenggara, Dubai dan negara lain membuatkan ramai mangsa tertarik.

"Mereka dipengaruhi dengan gaji lumayan, penginapan dan kemudahan lain yang disediakan malah perbelanjaan (pengangkutan dan dokumen) ditanggung oleh majikan antara punca ramai mangsa termakan umpan.

"Terdapat mangsa yang terdesak mencari pendapatan lebih tinggi di negara berkenaan memandangkan peluang pekerjaan di sana kononnya dibayar dalam mata wang dollar Amerika Syarikat," katanya.

Menurutnya, sindiket terbabit gemar menggunakan platform media sosial bagi mencari mangsa menerusi iklan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 12:00 PM