Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: `Lakonan padu' apabila ada mangsa penipuan tawaran kerja di luar negara yang diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebenarnya adalah orang tengah atau ejen sindiket tawaran kerja di luar negara.

Mereka yang diselamatkan ini adalah ejen yang direkrut sindiket penipuan sebagai usaha memperdayakan lebih ramai lagi individu untuk bekerja di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka ini dikesan hasil siasatan susulan Bahagian Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terhadap mangsa-mangsa lain yang diselamatkan termasuk mereka yang diselamatkan di Kemboja dan Myanmar

"Kita lihat ada beberapa daripada mereka yang pernah keluar ke negara lain dalam konteks yang lebih kurang sama (kerja di luar negara) tetapi apabila dipanggil, standard jawapan seperti dilatih

"Jadi kita menggunakan risikan dan memantau pergerakan mereka. Ada antara mereka yang kembali ke negara kita kenal pasti banyak terbabit dengan 'job scam' (penipuan pekerjaan) dengan kata lain mereka menjadi ejen rekrut kepada sindiket penipuan pekerjaan," katanya pada Sesi Libat Urus JSJ Bersama Masyarakat di Dewan Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail(TTDI) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Deputi Komisioner Fadil Marsus.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesan 16 individu sudah keluar semula ke negara yang terbabit dengan penipuan pekerjaan.

"Susulan itu, PDRM sudah memaklumkan situasi berkenaan kepada kementerian bagi menilai prosedur pengeluaran dokumen perjalanan mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara," katanya.

Sebelum ini, PDRM memaklumkan seramai 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dari tahun 2021 hingga 23 Februari lalu, manakala 133 orang masih terkandas di luar negara.

Kebanyakan mangsa dibawa ke negara-negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos dan daripada kajian yang dijalankan 73 peratus bekerja sebagai scammer, 12 peratus sebagai petugas khidmat pelanggan, lapan peratus bekerja di kasino dan tujuh peratus menjalankan pelbagai pekerjaan seperti tukang masak.

Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sesi Libat Urus JSJ bersama Masyarakat di Dewan Pusat Komuniti TTDI hari ini. foto BERNAMA
Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sesi Libat Urus JSJ bersama Masyarakat di Dewan Pusat Komuniti TTDI hari ini. foto BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 4:09 PM