Noor Hidayah Tanzizi


DEMI menjaga abang kandung yang terlantar akibat angin ahmar, Norazlin Abdul Basir, 20, sanggup mengorbankan masa depannya apabila berhenti belajar selepas bapa mereka meninggal dunia.

Anak bongsu daripada empat beradik itu menjaga Shamsul Hafiz, 30, dengan penuh kasih sayang dan memberikan sepenuh perhatian kerana abangnya sudah tidak lagi mampu menguruskan dirinya sendiri selepas diserang angin ahmar, dua tahun lalu.

Norazlin berkata, dia mengambil keputusan itu selepas arwah bapanya, Abdul Basir Tawhid, 57, meninggal dunia akibat pendarahan di kepala pada Julai tahun lalu.

"Saya kasihan melihat emak (Siti Rohani Abas, 50) menjaga abang seorang diri, jadi saya ambil keputusan berhenti belajar di Kolej Komuniti Batu Gajah sejak tahun lalu.

"Selain itu, saya tidak mahu membebankan emak kerana belajar juga memerlukan kos yang tinggi, lagipun emak hanya buat kuih sebelum ini dan mengasuh dengan bayaran RM200 sebulan," katanya.

Norazlin ditemui pada ziarah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Hujung Rintis, Kota Setia, Teluk Intan, semalam.

Menurutnya, dia tidak pernah menganggap menguruskan abangnya itu sebagai beban kerana tanggungjawab dan kasih sayang adik beradik melebihi segala-galanya.

"Sebelum ini abang tidak boleh mengimbangkan diri akibat kemalangan ketika berusia 16 tahun tetapi dia masih boleh menguruskan diri sebelum terlantar. Buah pinggang abang juga ada masalah tetapi belum sampai tahap kritikal.

"Ketika mahu berhenti belajar dahulu emak suruh saya fikir betul-betul, tetapi saya nekad mahu bantu emak. Memang sedih juga lihat kawan semua sudah habis belajar tetapi fokus saya kini mahu jaga abang," katanya.

Norazlin berkata, mereka memperuntukkan RM500 sebulan untuk lampin pakai buang dan susu abangnya dan turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 9:07 AM
NORAZLIN dan Siti Rohani menguruskan Shamsul Hafiz yang terlantar akibat angin ahmar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
NORAZLIN dan Siti Rohani menguruskan Shamsul Hafiz yang terlantar akibat angin ahmar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.