HAIKAL Naim dan isteri, Nor Azuin bersama Che Azmi  (tengah) ketika sihat. (Gambar kanan) Che Azmi yang kini terlantar. FOTO Ihsan Haikal Naim Ramli.
HAIKAL Naim dan isteri, Nor Azuin bersama Che Azmi (tengah) ketika sihat. (Gambar kanan) Che Azmi yang kini terlantar. FOTO Ihsan Haikal Naim Ramli.
Redzuan Muharam


Jertih: "Tiada beza pun bapa kandung atau mentua, sama saja dan Allah nak uji sama ada saya boleh menjaga dengan seikhlas hati," luah Haikal Naim Ramli.

Haikal Naim, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai perabot boleh dianggap sebagai lelaki kiriman tuhan kerana banyak berkorban masa dan tenaga untuk menjaga bapa mentuanya, Che Azmi Ismail, 62, yang terlantar sakit akibat angin ahmar pada bahagian kiri badan, sejak Februari lalu.

Meskipun terikat dengan komitmen kerja, Haikal Naim yang menetap di Kampung Laklok Dalam, di sini sanggup mengambil cuti tanpa gaji demi mengurus dan menjaga kebajikan bapa mentuanya.

Memandangkan tinggal bersama keluarga mentua, Haikal Naim tidak lepas tangan sebaliknya mengambil tanggungjawab membantu mengikut kemampuannya.

"Saya berumah tangga dengan isteri (Nor Azuin Che Azmi, 21) Ogos tahun lalu dan ketika itu ayah (mentua) masih sihat.

"Februari lalu, ayah diserang angin ahmar secara tiba-tiba dan sejak itu, dia terlantar malah kini minum susu melalui tiub disambung pada hidungnya, tidak boleh makan makanan lain.

"Isteri suri rumah manakala adik dan abang ipar yang tinggal bersama pula ada komitmen masing-masing iaitu belajar serta bekerja.

"Jadi, saya ambil tanggungjawab uruskan bapa mentua kerana ada waktu perlu mengangkatnya (bapa mentua). Kebetulan, isteri kini hamil tiga bulan jadi tak sanggup biarkan dia dan emak mentua saja menguruskan ayah," katanya.

Menurut Haikal Naim, keluarganya faham malah dia diminta menjaga bapa mentuanya dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, dia juga akan menjalankan tanggungjawab itu selagi ada kudrat dan kesihatan yang baik.

"Ikutkan saya dan isteri nak duduk berasingan selepas berkahwin seperti kebanyakan pasangan lain.

"Bagaimanapun, kami tangguhkan dulu hasrat itu selagi ayah belum sihat.

"Menurut doktor, ayah ada harapan pulih cuma memakan masa, kini saya berharap ayah dapat menguruskan diri sendiri kerana kasihan melihatnya minum menggunakan tiub," katanya.

Haikal Naim berkata, sehingga kini, bapa mentuanya belum mendapat bantuan tetap daripada mana-mana pihak.

"Jadi, kami sekeluarga yang berusaha mencari wang bagi menampung keperluan ayah.

"Antara keperluan ayah adalah lampin pakai buang dan susu.

"Susu paling penting kerana perlu diberi minum setiap empat jam sekali dan satu tin bertahan tiga hari saja. Harganya mahal dan jika mampu, kami akan beli sedikit dulu," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Haikal Naim di talian 019-5544533 atau isterinya, Nor Azuin di talian 019-5611920.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 8:00 PM