(Kiri) Keadaan Ahmad Arfan kini. (kanan) Ahmad Arfan bersama keluarga. FOTO IHSAN MOHD BASIR MOHD NOR
(Kiri) Keadaan Ahmad Arfan kini. (kanan) Ahmad Arfan bersama keluarga. FOTO IHSAN MOHD BASIR MOHD NOR
Redzuan Muharam


Kuala Terengganu: Bukan hanya terlantar seperti bayi namun Ahmad Arfan Farhat Mohd Basir juga tidak dapat melihat kerana menghidap penyakit saraf dikenali Adrenaleukody Strophyzx-Linked.

Lebih menyedihkan apabila Ahmad Arfan Farhat, 13, yang dilahirkan normal juga tidak dapat ke sekolah sejak empat tahun lalu akibat derita ditanggungnya.

Bapanya, Mohd Basir Mohd Nor, 41, berkata, dia dan isteri, Aizan Md Shah, 41, sudah berikhtiar bermacam cara termasuk ke hospital dan klinik swasta bagi mencari penawar buat anak sulung mereka itu namun belum ditakdirkan sembuh.

"Banyak tempat sudah kami pergi tetapi tak nampak perubahan malah doktor kata penyakit anak tidak boleh dirawat dan tiada ubat.

"Fisioterapi juga tidak boleh membantu dan doktor pernah meramalkan jangka hayat anak boleh hidup 10 tahun saja daripada tarikh dia disahkan ada penyakit itu.

"Nak kata tak sedih tipu kerana sebagai manusia biasa memang ada perasaan itu tapi nak lari ke mana kerana Allah sudah tetapkan takdirnya begitu.

"Jadi, saya dan isteri pujuk hati untuk reda dan jalani kehidupan macam biasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Basir berkata, Ahmad Arfan Farhat dulunya seorang kanak-kanak yang aktif dan cerdik cuma pendiam.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas mengalami simptom penglihatan kabur ketika berumur sembilan tahun.

"Simptom itu jadi dengan tiba-tiba dan ketara apabila Arfan (nama panggilan) menulis pun jadi senget. Menyedari ada yang tidak kena mendorong saya dan isteri bawa Arfan ke hospital.

"Hasil ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) dijalankan mendapati Arfan ada penyakit saraf. Dalam tempoh lima bulan, kesihatannya merosot dan akhirnya terlantar hingga tak dapat bersekolah," katanya.

Mohd Basir berkata, keadaan Ahmad Arfan Farhat tidak membolehkan dia dan isteri sama-sama bekerja kerana salah seorang perlu membantu menguruskan anak mereka itu di rumah.

"Memandangkan saya ketua keluarga jadi saya yang keluar bekerja. Lagipun, kalau isteri bekerja, Arfan perlu dihantar ke pengasuh namun siapa yang sanggup menjaganya dengan keadaan begitu kerana orang tak akan terima.

"Buat masa ini kami guna duit sendiri saja untuk keperluan Arfan walaupun tak cukup sebenarnya kerana perlu sara dua anak yang lain," katanya.

Menurut Mohd Basir, perkongsiannya di TikTok pula bukan bertujuan meraih simpati sesiapa tetapi untuk berkongsi pengalaman menjaga anak syurga.

"Pada masa sama, saya nak minta doa daripada orang ramai sebenarnya namun bersyukur kerana ada juga yang memberi sumbangan.

"Terima kasih dan sebagai bapa, saya akan terus berikhtiar kerana yakin setiap penyakit pasti ada penawarnya. Andai kata Allah SWT beri anak saya sembuh, syukur Alhamdulillah dan jika tidak, saya terima dengan reda," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162432908321 Maybank atas nama Mohd Basir Mohd Nor atau menghubunginya di talian 013-211 9447.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 5:57 PM