MOHD Basir tidak putus asa mencari penawar buat anak sulungnya, Arfan Farhat Mohd Basir. FOTO Ihsan Mohd Basir Mohd Nor
MOHD Basir tidak putus asa mencari penawar buat anak sulungnya, Arfan Farhat Mohd Basir. FOTO Ihsan Mohd Basir Mohd Nor
Redzuan Muharam


Gombak: "Nampaknya, tak ada rezeki untuk anak saya dapat rawatan hari ini tapi saya enggan berputus asa kerana akan datang lagi minggu depan," luah bapa tiga anak, Mohd Basir Mohd Nor.

Mohd Basir, 41, memberi reaksi itu ketika berkongsi perkembangan terkini anak sulungnya, Ahmad Arfan Farhat Mohd Basir , 13, yang masih terlantar sejak empat tahun lalu dan tidak dapat melihat akibat penyakit saraf dikenali Adrenaleukody Strophyzx-Linked.

Mengenangkan penderitaan anak, Mohd Basir dan isteri Aizan Md Shah, 41, gagahkan diri bertolak dari rumah mereka di Kuala Terengganu, Terengganu seawal jam 4 pagi hari ini untuk membawa Ahmad Arfan Farhat mendapatkan rawatan dengan perawat tradisional, di sini, hari ini.

Ikhtiar itu susulan keadaan Ahmad Arfan Farhat yang belum sembuh kerana tiada lagi penawar bagi merawat penyakitnya.

Meskipun begitu, harapan Mohd Basir dan isterinya tidak kesampaian kerana perawat berkenaan mempunyai hal kecemasan yang menyebabkan rawatan kemungkinan ditunda pada Selasa depan.

"Memang sudah bermacam cara dan ikhtiar saya juga isteri cuba untuk merawat Arfan (nama panggilan) namun belum diizinkan Allah untuk sembuh.

"Bagaimanapun, kami belum lagi berputus asa dan melihat video perawat berkenaan di TikTok membuatkan kami tergerak hati untuk mencuba kerana ada dalam kalangan pesakitnya sembuh.

"Disebabkan itu, saya dan isteri gigih juga datang ke Kuala Lumpur hari ini membawa dua lagi anak bersama namun tak dapat slot.

"Sedih juga tapi kami akan datang semula dalam Selasa depan," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Menurut Mohd Basir, dia sekeluarga akan bermalam di inap desa milik rakannya dekat sini sebelum pulang ke Kuala Terengganu awal pagi esok.

"Kami rehat dulu semalam sebelum pulang esok dan datang semula dua hari lagi.

"Demi Arfan, saya dan isteri sanggup kerana nak sangat tengok dia sembuh dan hidup normal macam orang lain," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Ahmad Arfan Farhat yang juga tidak dapat ke sekolah sejak empat tahun lalu akibat derita ditanggungnya.

Lebih menyedihkan, doktor pernah meramalkan jangka hayat Ahmad Arfan Farhat hanya bertahan 10 tahun saja daripada tarikh disahkan menghidap penyakitnya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 563019337089 atas nama Mohd Basir Mohd Nor atau menghubunginya di talian 013-211 9447.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 10:17 PM