Amir Abd Hamid


Shah Alam: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.

Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Ia adalah kali kedua Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dihadapkan ke mahkamah.

Jumaat lalu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

"Saya faham dan mengaku tak bersalah," kata Muhyiddin pada prosiding hari ini.

Mengikut pertuduhan terbaharu, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, 7 Januari 2022.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan, atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Salleh Mohamed Garbaa, Mohamad Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Terdahulu, Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

"Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memandangkan ia berkait dengan perbicaraan di sana serta tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen berkenaan sudah ditetapkan pada 26 Mei ini," katanya.

Permohonan itu tidak dibantah peguam mewakili Muhyiddin, iaitu Datuk K Kumaraendran.

Rozilah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah sama (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 9:27 AM
Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman ketika hadir ke mahkamah menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman ketika hadir ke mahkamah menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM