BARISAN artis yang terbabit dalam showcase ini.
BARISAN artis yang terbabit dalam showcase ini.
Ridzuan Abdul Rahman


WALAUPUN hanya beraksi secara 'minus one', barisan artis-artis otai rock yang terbabit dalam Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 anjuran Nizam Laksamana Production berjaya menggegarkan Bangi Resort Hotel dengan persembahan bertenaga mereka, baru-baru ini.

Showcase yang berlangsung pada tarikh dan waktu yang sama dengan Konsert Endemik Search di Zepp Kuala Lumpur dan Konsert Hattan - 35 Years Journey di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu ternyata mempunyai peminat tersendiri apabila mencatat kehadiran 500 penonton.

Ia bukan sekadar persembahan biasa sebaliknya tampil dengan matlamat membantu pesakit dan bekas pesakit kanser.

Bukan mudah untuk Nizam merealisasikan impian murninya kerana kesukaran mendapatkan penaja walaupun pelbagai cara dicuba, selain jualan tiket yang mulanya perlahan.

"Apapun saya tetap kena teruskan kerana dah berjanji dengan pengerusi dan pengasas Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal, seorang aktivis dari Jitra, Kedah yang sering membantu pesakit kanser.

"Juga berlaku keajaiban apabila jualan tiket mendapat sambutan pada saat akhir. Ada yang minta ditambah lagi beberapa meja tapi sukar dipenuhi kerana tempat yang sudah padat.

BARISAN artis otai mendendangkan lagu popular mereka.
BARISAN artis otai mendendangkan lagu popular mereka.

"Alhamdulillah, menjelang acara pelbagai pihak tampil untuk menaja dalam pelbagai bentuk walaupun bukan dalam bentuk wang," katanya.

Nizam turut merakamkan penghargaan buat sahabat baiknya Allahyarham GMie Screen yang terbabit dengan dua persembahan sebelum ini.

Dia turut mengundang bekas pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz naik ke pentas bercerita pengalamannya sebagai pesakit kanser.

Barisan artis yang terbabit dalam persembahan ini ialah Rahmad Mega, Daqmie, Bagio, Ibnor Riza, Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Tam Spider dan Ramlah Ram tampil dengan lagu popular masing-masing.

Lagu-lagu yang didendangkan adalah Gugurnya Bunga Cinta, Mendung Tak Bererti Hujan (Nizam Laksamana & Ramlah Ram), Takdir dan Waktu, Bayangan Gurauan (Rahmad Mega), Liya Juwita, Tangis Sebatang Tamar (Daqmie), Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Sufi (Bagio), Mimpi Yang Tak Sudah, Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza), Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar (Ezad Lazim), Bukalah Hatimu, Ramalanku Benar Belaka (Zarul Umbrella), Kasih Latifah, Jangan Kau Berputus Asa dan Relaku Pujuk (Tam Spider) dan Ramlah Ram mendendangkan lagu Zapin Yang Tinggal dan Kau Kunci Cintaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 6:48 AM