AKSI ceria penonton.
AKSI ceria penonton.
PERSEMBAHAN bertenaga Spider.
PERSEMBAHAN bertenaga Spider.
MAJLIS pelancaran album Ankabut.
MAJLIS pelancaran album Ankabut.
Syafil Syazwan Jefri


Dua dekad mencipta nama di persada seni tanah air, Spider masih relevan dan sentiasa mendapat tempat di hati peminat.

Tidak hanya melekat di hati peminat yang setia mengikuti perkembangan mereka sejak awal kemunculan pada 1996, Spider turut diminati generasi muda.

Buktinya, persembahan mereka yang berlangsung di Panggung Budaya, Fakulti Muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim gamat dengan sorakan peminat.

Pada acara yang berlangsung pada 28 Ogos lalu, Spider tampil menghiburkan penonton dengan mempersembahkan himpunan lagu popular mereka yang diselang-selikan dengan lagu baru.

Bagi Spider yang dianggotai Tam selaku vokalis dan gitaris, Nafi (gitaris), Ayie (pemain dram) dan Is (bassis), persembahan itu sebagai tanda penghargaan buat peminat mereka.

“Persembahan ini diadakan secara percuma dan terbuka kepada kepada pelajar UPSI dan orang luar.

“Ia turut diadakan sempena pelancaran album keenam berjudul Ankabut yang menampilkan 10 lagu baru,” kata Tam.

Ternyata mereka masih bertenaga beraksi di atas pentas sehinggakan setiap lagu yang disampaikan mendapat tepukan gemuruh penonton yang memenuhi ruang panggung itu.

Antara lagu yang dialunkan sepanjang persembahan berdurasi hampir dua jam itu adalah Akulah Cermin, Hidupku, Hanya Terleka dan Cinta Dewa Dewi.

Bagi menampilkan sedikit kelainan, Spider turut beraksi secara akustik ketika menyampaikan lagu Tapi Bagaimana, Kasih Latifah serta Mungkinkah.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut menghiburkan penonton dengan lagu ‘berhantu’ Relaku Pujuk dan Aladdin.

“Tentunya kami mengimpikan konsert berskala besar. Namun, kami sedar untuk merealisasikannya memerlukan komitmen bukan sahaja daripada Spider, tetapi juga penganjur dan penaja.

“Namun, jika ada peluang sudah tentu kami tidak akan menolak,” katanya lagi.

Memilih UPSI sebagai lokasi pelancaran album dan persembahan, Spider punya alasan kukuh.

Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar berkata, perjanjian ini bertujuan berkongsi ilmu dengan generasi muda.

“Kami membuat perjanjian dengan UPSI selama lima tahun bermula April lalu.

“Menerusi perjanjian ini, kami ingin membuka peluang kepada generasi muda mendalami bidang muzik dan kerja penerbitan karya seni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 10:04 AM