KONSERT mini jam 4 petang esok tampilkan Nana, Bandi Amuk, Wani dan kumpulan Jumero.
KONSERT mini jam 4 petang esok tampilkan Nana, Bandi Amuk, Wani dan kumpulan Jumero.
Najiy Jefri


Kejohanan Bowling Best! Harian Metro yang bermula semalam di Sahara Bowl & Cafe, Angsana Johor Bahru Mall turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi popular tanah air, petang esok.

Konsert mini yang akan berlangsung di foyer utama, tingkat satu pusat beli-belah berkenaan bermula jam 4 petang esok menampilkan Siti Nordiana, Bandi Amuk, Wani dan kumpulan baru, Jumero.

Kejohanan sempena ulang tahun ke-26 Harian Metro itu turut menyajikan pelbagai hadiah menarik selain cabutan bertuah hadiah motosikal dan barangan elektrik.

Siti Nordiana yang mesra disapa Nana berkata, dia teruja dan tidak sabar bertemu dengan peminat di Johor Bahru, esok.

“Sebelum ini, jika ada persembahan di luar Kuala Lumpur kebanyakannya untuk majlis korporat. Jadi, dengan adanya konsert mini ini, saya dapat beramah mesra dengan peminat dan menghiburkan mereka.

“Lagipun, sudah lama saya tidak mengadakan persembahan di Johor Bahru. Inilah masanya untuk saya menghabiskan masa dan melepaskan rindu dengan peminat di sana,” katanya.

Berkongsi mengenai persembahannya esok, Nana berkata, dia bakal mempersembahkan dua lagu iaitu single terbarunya berjudul Terus Mencintai dan lagu popularnya Memori Berkasih.

“Kalau boleh, saya teringin nak berduet dengan peminat di Johor Bahru menerusi lagu Memori Berkasih. Tak sabar rasanya melihat gelagat dan bakat mereka,” katanya.

Bagi penyanyi baru Wani, dia teruja kerana ini kali pertama dia menyertai acara anjuran Harian Metro.

“Bersama Harian Metro, ini adalah persembahan pertama saya. Memang sangat teruja dan berharap kehadiran saya akan memeriahkan lagi suasana,” katanya.

Wani juga akan menggunakan kesempatan ini untuk mendekati peminatnya.

“Dengan adanya program begini, ia menjadi platform buat saya untuk lebih mendekati peminat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi menjemput saya terbabit sama dalam konsert mini ini,” katanya yang bakal menyampaikan lagu popularnya iaitu Lepaskan dan Alhamdulillah.

Wani berkata, dia dimaklumkan lagu Lepaskan menjadi antara lagu permintaan dan dia bakal menyanyikannya bersama peminat nanti.

Selain Nana dan Wani, Bandi Amuk juga bakal memeriahkan acara petang esok.

Bandi yang memang dikenali dengan lagu heavy metal bersama Amuk dijangka membawa lagu popularnya bersama kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 7:10 AM