DRAMA Band
DRAMA Band
Sudirman Mohd Tahir


Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang bakal berlangsung di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam cukup istimewa apabila menggabungkan barisan penyanyi lama dan baru.

Barisan penyanyi seperti Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, XPDC, Dayang Nurfaizah, Ezad Lazim, Siti Nordiana, Ayda Jebat, Ronnie Hussein, Drama Band, Tasha Manshahar & Syed Shamim, Shiha Mentor dan band Indonesia, Papinka sememangnya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Siti Nordiana, 32, berkata, konsert ini menjadi platform untuknya mengumpul peminat dari serata tempat supaya sama-sama dapat menyaksikan persembahannya.

“Sebelum ini kebanyakan peminat saya memang susah nak melihat persembahan saya apatah lagi membabitkan konsert berskala besar. Bukan apa, dulu saya kurang mendapat peluang sebegini,” kata juara Gegar Vaganza 2 (GV2) ini.

Penyanyi yang mesra dengan nama Nana itu turut bersyukur kerana selepas GV2 dia mendapat banyak tawaran menyanyi.

“Pembabitan saya menerusi konsert ini satu penghargaan dan penghormatan buat saya. Rasa tidak sangka apabila dipilih bersama beberapa penyanyi senior lain seperti Jamal, Ella, Amy Search, XPDC dan Dayang Nurfaizah,” katanya.

Menurut Nana, sudah ada dalam kalangan peminatnya menyatakan hasrat untuk hadir ke konsert ini nanti. Malah, ada di antara mereka sanggup datang dari luar Kuala Lumpur seperti Seremban, Perak dan Melaka.

“Setiap kali ada persembahan membabitkan saya, tentu saja saya mengharapkan sokongan daripada mereka. Malah, perkara sama saya mahu mereka buat untuk penyanyi lain.

“Kejayaan sesuatu penganjuran konsert seperti ini datangnya daripada sambutan penonton. Jadi, saya berharap peminat hadir beramai-ramai bagi menghangatkan malam konsert nanti,” katanya.

Nana berkata, pada malam itu dia memilih untuk menyanyikan lagu Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain dan Memori Berkasih.

“Saya memilih lagu Memori Berkasih kerana ia antara lagu kegemaran peminat setiap kali mengadakan persembahan. Cuma, saya jarang nyanyikan sebab tidak ada pasangan duet.

“Namun pada malam konsert itu, saya akan berduet dengan Syed Syamim. Sedikit sebanyak persembahan ini dapat mengubat rindu peminat terhadap arwah Achik dan lagu ini sendiri,” katanya.

Sependapat dengan Nana, Drama Band yang diwakili penyanyi, Aepul berkata, mereka tidak mahu melepaskan peluang diberikan Harian Metro.

“Saya sedar walaupun sudah lima tahun dalam industri muzik, tetapi kami seperti penyanyi baru. Ia satu penghargaan apabila diberi peluang sebegini.

“Tambahan pula, dapat berkongsi pentas dengan beberapa nama besar memberikan kami satu lagi pengalaman baru. Pendek kata, impian kami selama ini tercapai,” katanya.

Aepul berkata, sejak kebelakangan ini baru Drama Band mendapat perhatian peminat berbanding ketika awal kemunculan.

“Bukan mudah nak mengubah persepsi peminat yang sebelum ini mengatakan kami dari Indonesia. Apabila lagu kami sudah mula dikenali, baru mereka percaya Drama Band adalah kumpulan dari Malaysia.

“Bukannya mahu berbangga, tetapi ia perlu dilakukan bagi mengelak sebarang kekeliruan. Lagi satu, kekuatan kami datangnya daripada mutu persembahan dan bukannya lagu semata-mata,” katanya.

Menerusi konsert itu nanti, Drama Band yang turut dianggotai Faeez (dram), Ammar (gitar), Daus (bass) dan Adib (gitar kedua) akan menyanyikan lagu Biarkanlah dan dua lagu secara medley berjudul Babak Pertama serta Cerita Dia.

Konsert yang menampilkan pasangan pengacara popular, Sherry Alhadad dan AG Kool FM turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari karnival berlangsung.

Antaranya Zumba Metro, Ejector Trampoline, karaoke, peraduan di Instagram, pertandingan gusti lengan dan permainan kereta kawalan jauh.

Terdapat juga aktiviti untuk kanak-kanak seperti buih sabun gergasi, ‘sand art’ dan pertandingan mewarna.

Pengunjung juga boleh menjamu selera di 25 trak makanan yang menjual pelbagai jenis makanan seperti rojak, cendol, nasi lemak, burger dan char kuetiau.

Sebelum ini konsert jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah; Dataran Tanjung Emas, Muar dan Padang MPK 3, Kuantan.

Meneruskan siri jelajah ini, Harian Metro juga bakal menggegarkan Fan City Mall, Miri, Sarawak pada 15 dan 16 April ini dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 12:20 PM