Penyanyi, Khai Bahar. Foto File NSTP
Penyanyi, Khai Bahar. Foto File NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya geram dan tak boleh bersabar lagi."

Demikian kata penyanyi Khai Bahar yang berang dengan sikap seorang pengguna media sosial yang menuduhnya berseronok dengan rakan-rakan di Langkawi ketika ibunya sedang sakit.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, berkata, tuduhan yang dilemparkan individu itu sangat melampau dan membuatkan dirinya hilang sabar.

"Apa yang dikongsikan individu itu melampau dan keterlaluan. Saya pergi bercuti dengan kawan-kawan baik saya yang dah bertahun lama kenal. Bukan sambut tahun baru saja, sambut ulang tahun kelahiran sekali.

"Saya dah rancang dengan rakan-rakan kampung. Jadi janganlah memfitnah. Kalau tak boleh bagi saya gembira, jangan bagi saya sedih dengan apa yang jadi semua ini," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, seorang pengguna TikTok menegur Khai kerana bercuti bersama rakan-rakan yang didakwa lelaki songsang.

Individu berkenaan menasihati Khai agar tidak lagi bergaul dengan mereka kerana arwah ibu iaitu Rosnah Mohamad mahu penyanyi itu memilih jalan terbaik dalam hidup.

Bengang rakannya itu dituduh songsang, Khai meminta netizen berkenaan berhenti mencari kesilapan dirinya dan menyebarkan fitnah tidak benar.

Dalam masa sama, Khai meminta netizen berkenaan berhenti mencari kesilapan dirinya dan menyebarkan fitnah tidak benar.

"Dosa saya dengan Allah saya tanggung. Mungkin esok lusa saya dah tak ada baru kamu boleh berhenti cari salah saya.

"Biarlah kawan saya macam mana sekali pun, saya tidaklah baik sangat. Saya kenal kawan-kawan saya bukan semalam.

"Kita tidak tahu pengakhiran kita macam mana, mak saya pernah pesan nak buat apa buatlah, ingat apa sebelum buat. Nanti fikirlah mana-mana yang baik," katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkininya selepas pemergian ibu tercinta, Rosnah Muhammad yang menghadap Ilahi pada Selasa lalu, Khai berkata, dia reda dengan segala ketentuan Tuhan.

"Jujur saya masih bersedih sebab orang yang penting dalam hidup saya sekarang sudah tiada.

"Saya sudah reda tapi rindu itu tetap masih ada. Kalau dia masih hidup sekarang ini pun, dia akan menghantar rakaman audio bertanya keadaan saya," katanya.

Terdahulu, ibu Khai disahkan meninggal dunia dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis pada jam 10.40 malam. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 12:54 PM