KUMPULAN XYZ Mission tampil dengan imej bertopeng kerana enggan dedahkan identiti mereka sewaktu menjalankan misi agihan bantuan.FOTO Tangkap Layar TikTok
KUMPULAN XYZ Mission tampil dengan imej bertopeng kerana enggan dedahkan identiti mereka sewaktu menjalankan misi agihan bantuan.FOTO Tangkap Layar TikTok
Redzuan Muharam


Kuala Selangor: Bukan mahu mengumpul pengikut jauh sekali mengecap populariti namun niat kumpulan dikenali XYZ Mission adalah membantu golongan kurang bernasib baik tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka.

Kumpulan berkenaan selesa dengan imej bertopeng dan usaha mereka mengagihkan barangan keperluan seperti telur dan ayam baru-baru ini nyata memberi impak selepas tular video serta gambar sewaktu menjalankan misi di laman sosial.

Pengasas XYZ Mission dikenali Muhammad, 26, berkata, dia yang menetap di Puncak Alam, di sini bukanlah individu berpengaruh atau pernah terbabit aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebaliknya hanya orang biasa yang ada keinginan membantu masyarakat.

Lantaran itu, dia menggerakkan misi agihan bantuan dengan bermodalkan wang simpanan sendiri namun enggan penerima tahu siapa dirinya dan rakan terbabit jadi memakai topeng bagi menyembunyikan identiti sebenar.

"Saya lihat, ramai yang beri sedekah dan buat misi namun segelintir seolah-olah ambil kesempatan dengan ambil gambar dengan penerima selain rakam video untuk 'content' (bahan perkongsian).

"Saya nampak ia sudah jadi macam satu trend. Saya pula tak nak begitu kerana nak buktikan sedekah tapi tak tunjuk muka pun okay saja.

"Jadi caranya adalah dengan pakai topeng dan saya gerakkan misi bantuan dengan dibantu empat lagi orang terdiri daripada rakan serta ahli keluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad berkata, misi bantuan itu dirancang sejak enam bulan lalu namun mengambil masa lama untuk dilaksanakan kerana perlu mengumpul wang bagi membeli keperluan.

Katanya, setakat ini, dia bersama pasukan sudah menjalankan misi di dua kawasan iaitu dekat hadapan pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan perkarangan Masjid As-Salam di Puchong Perdana, Selangor.

"Lokasi dan misi pertama kami adalah di Bukit Bintang pada 2 Mei lalu dan asalnya nak buat siang tetapi tunda ke malam kerana hujan.

"Kami agihkan 100 ekor ayam di situ dan mulanya memang orang pelik, ingatkan macam rusuhan kerana kami bertopeng tapi dapat sempurnakan agihan dalam masa enam minit.

"Keesokannya iaitu pada 3 Mei, kami buat di perkarangan Masjid Puchong Perdana pula selepas solat Jumaat dengan agihkan 100 papan telur dan licin dalam masa tiga minit.

"Kami rancang nak adalah di tapak pasar malam Paya Jaras, Sungai Buloh pula Jumaat ini kira-kira jam 11 pagi jika tiada perubahan waktu," katanya.

Muhammad berkata, misi itu mendapat sambutan setakat ini namun ada juga rungutan diterima daripada orang ramai terutama berkaitan pemilihan lokasi dan sasaran penerima.

"Target misi di Bukit Bintang tempoh hari adalah untuk agihkan kepada mereka yang balik kerja.

"Tapi bila orang datang, saya tak boleh tolak dan kawal kerana mana yang dapat, itulah rezeki mereka.

"Jadi tak ada istilah bantuan untuk orang tertentu saja kerana niat saya nak kongsi rezeki dengan semua tak kira apa bangsa dan agama sekalipun.

"Lagipun, Islam ajar hormat dan berbuat baik dengan semua orang serta tak buat musuh jadi selagi termampu, saya cuba sebaik mungkin walaupun tak dapat puaskan semua orang," katanya.

Muhammad berkata, dia merancang untuk memperluaskan lagi misi itu dengan menjelajah ke luar Lembah Klang.

"Ikutkan nak pergi sampai Sabah dan Sarawak kerana memang ada permintaan di sana tapi perlukan kos yang banyak jadi mulakan dengan Semenanjung dulu.

"Cuma, saya nak pelbagaikan lagi bantuan dengan buat kelainan, kemungkinan dengan beri durian seorang sebiji pula nanti.

"Ia kerana saya sedar ramai suka makan durian tapi bukan semua mampu nak beli tetapi teringin jadi akan cuba usahakan.

"Saya tak takut pun keluar duit untuk kongsi rezeki kerana Allah SWT sudah janji tak akan miskin orang yang bersedekah dan berharap apa dilakukan ini menjadi ikutan ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 3:32 PM