FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Sekolah agama dan pusat tahfiz tidak berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) diminta membuat pendaftaran segera bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 100 institusi pengajian itu dikesan belum membuat pendaftaran, walaupun mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Ada beberapa pusat tahfiz dan sekolah agama baharu mendaftar tahun ini dan kita masukkan sebagai penerima bantuan, jadi kita minta sekolah lain turut mendaftar untuk agihkan bantuan.

"Tahun ini, 191 sekolah agama rakyat dan tahfiz berdaftar dibantu dengan bantuan RM5,000 setiap sekolah, yang keseluruhannya berjumlah RM955,000 membabitkan 38 sekolah menengah agama, 37 sekolah rendah agama, 90 maahad tahfiz dan 29 sekolah pondok," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban pengurusan institusi agama berkenaan yang perlu menanggung pelbagai kos operasi dan penyelenggaraan.

Beliau berkata, pihaknya faham keadaan pusat pengajian agama berkenaan yang kebanyakannya bergantung kepada yuran dibayar waris pelajar.

"Guru pun ada tidak menerima gaji, pengurusan pula perlu bayar pelbagai bil utiliti, memang ia membebankan, jadi kerajaan negeri bersedia untuk membantu, tetapi mereka mesti berdaftar dahulu," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi melancarkan pengaturan pasaran buah-buahan bermusim dokong ke pasaran Lembah Klang di Kampung Padang Pulut, Jeneri, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri berkata, sebanyak 2,961 tan buah dokong yang dikumpulkan daripada 410 penanam di sekitar daerah Sik dihantar untuk pasaran Lembah Kelang pada tahun ini.

"Harga ladang bagi satu kilogram (kg) buah dokong ialah sekitar RM1.50. Tahun depan mungkin kita boleh dapatkan pasaran harga lebih baik untuk membantu meningkatkan pendapatan penanam dokong.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) atas usaha mereka membantu memasarkan buah-buahan dari Sik dan daerah lain di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:38 PM