PENGERUSI Persatuan Penduduk PPR Kampung Muhibbah Fasa Satu, Atar Bacha Haja menunjukkan rumah yang pernah didiami oleh pekerja keselamatan warganegara Nepal.
PENGERUSI Persatuan Penduduk PPR Kampung Muhibbah Fasa Satu, Atar Bacha Haja menunjukkan rumah yang pernah didiami oleh pekerja keselamatan warganegara Nepal.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Untung 'atas angin'. Begitu sikap segelintir penyewa projek perumahan rakyat (PPR) atau perumahan awam (PA), di sini, apabila dikesan menyewakan kembali unit kepada warga asing bagi mengaut keuntungan mudah.

Berdasarkan risikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penyewa warga tempatan membayar sewa RM124 setiap bulan, tetapi menetapkan kadar sewa bulanan antara RM600 hingga RM1,200 kepada warga asing bergantung lokasi.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Ismadi Sakirin berkata, kadar sewa itu tidak menjadi masalah kepada warga asing kerana mereka tinggal beramai-ramai di rumah berkenaan atau berkongsi dengan rakan.

"Ada yang sewa serendah RM600 sehinggalah RM1,200 berdasarkan kepada lokasi. Kalau di Pantai Dalam, (sewa) RM1,000 ke RM1,200 boleh pergi.

"Tetapi di Batu Muda, mungkin (sewa) RM600. Dia tengok kepada lokasi. Untung atas angin itu berlipat kali ganda," katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabatnya, di sini.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata, sejak 2022 sehingga Februari lalu, sebanyak 26 aduan dan tindakan penguatkuasaan diambil oleh DBKL dengan merampas unit yang disewakan kepada warga asing.

Menurutnya, trend warga tempatan menyewakan rumah PPR atau PA meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Katanya, keadaan itu berjaya dikesan menerusi rampasan empat unit kediaman pada 2022, 12 unit (2023) dan 10 unit setakat Februari tahun ini.

Adalah menjadi kesalahan bagi penyewa dan pembeli rumah PPR atau PA milik DBKL menyewakannya kepada penghuni yang tidak sah termasuk warga asing.

"Ketua penyewa yang menyewakan unit milik DBKL (unit sewa) kepada warga asing akan diambil tindakan penguatkuasaan serta-merta termasuk merampas unit tersebut dan membatalkan penyewaan kediaman.

"Bagi pemilik yang telah memiliki unit (unit beli), DBKL akan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk membaiki kemungkiran dilakukan dalam 14 hari untuk mengeluarkan warga asing daripada rumah pemilik tersebut," katanya.

Beliau berkata, DBKL juga mengalu-alukan aduan daripada penghuni mengenai kemungkiran yang dilakukan oleh ketua penyewa yang berlaku di kawasan PPR atau PA masing-masing.

"Ia bagi memastikan individu yang mengaut keuntungan dengan menyewakan kepada pihak ketiga lebih-lebih lagi warga asing ini diambil tindakan sewajarnya dan membolehkan pemohon yang lebih memerlukan mendapatkan unit di PPR atau PA ini," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 64 PPR dan PA dikendalikan oleh DBKL dan sebanyak 23,828 unit membabitkan PA.

Berdasarkan 23,828 unit itu, 13,212 unit adalah sewaan manakala 10,616 lagi unit sudah terjual.

Bagi PPR yang dikendalikan oleh DBKL, secara keseluruhan berjumlah 37,676 unit membabitkan pecahan 25,968 unit sewaan dan baki selebihnya iaitu 11,708 unit sudah dijual.

M Zairi.
M Zairi.

Macam mana warga asing boleh duduk di PPR ini?

Kepesatan projek pembinaan di sekitar Kampung Muhibbah, di sini, didakwa menyebabkan terdapat unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu disewa oleh warga asing.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua M Zairi A Hadi berkata, pihaknya mendapati warga asing menyewa unit kediaman di PPR terbabit untuk kemudahan mereka.

Menurutnya, ini berikutan rumah berkenaan berhampiran tempat kerja mereka di samping ada juga warga asing mengambil kesempatan berkahwin dengan wanita tempatan dan tinggal di PPR terbabit.

"Janda atau balu, bila kematian atau berpisah dengan suami, dia berkahwin dengan warga asing ini.

"Sama ada dia ada pasport ke tidak, kita tidak pasti. Tahu-tahu dia bawa masuk (lelaki ini ke PPR). Warga asing ini juga pandai dan licik dengan bercampur bersama komuniti untuk mengaburi kita," katanya.

Katanya, warga asing yang tinggal di PPR terbabit didakwa menyewa puluhan unit kediaman.

"Kebanyakannya melibatkan pembeli yang menyewakan (unit milik mereka) kepada warga asing. Selain itu, ada juga penyewa yang menyewakan kepada warga asing," katanya.

Katanya, dia turut mengingatkan kepada pemilik atau penyewa unit bahawa kegiatan itu menjadi kesalahan kerana kediaman PPR atau perumahan awam (PA) hanya untuk warganegara Malaysia.

"PPR ini untuk warganegara Malaysia. Tapi macam mana warga asing boleh duduk di PPR ini?

"Ramai warganegara Malaysia yang memohon untuk menyewa di PPR bertahun-tahun, tapi tak dapat," katanya.

Menurutnya, penyewaan unit kediaman PPR atau PA oleh warga asing tidak akan selesai dan pihaknya berusaha menanganinya dengan bantuan pihak berkuasa.

"Kita akan cuba untuk membanterasnya dengan membabitkan agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 12:01 PM