INISIATIF DBKL menerusi Program 1C1R membolehkan penghuni PPR dan PA membayar sewa menggunakan barangan terpakai.
INISIATIF DBKL menerusi Program 1C1R membolehkan penghuni PPR dan PA membayar sewa menggunakan barangan terpakai.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Alternatif tukar sampah kitar semula untuk membayar tunggakan atau sewa bulanan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) didiami.

Itu antara inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Program 1C1R (1 Community 1 Recycle) yang mula diperkenalkan sejak Oktober tahun lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata, program itu tidak hanya menarik minat masyarakat mempraktikkan amalan kitar semula, malah mampu digunakan untuk membayar sewa rumah dan mendapatkan barangan makanan keperluan asas.

Menurutnya, menerusi konsep sistem 'barter', penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang membawa barang kitar semula ke kios 1C1R akan mendapat mata ganjaran atau 'green coin' yang boleh dikumpul.

"Ia kemudian boleh ditukar untuk membayar sewa rumah serta mendapatkan barangan keperluan harian.

"Misalnya, setiap satu kilogram (kg) sisa tin aluminium mewakili 12 mata ganjaran boleh ditukar dengan sepeket gula manakala setiap satu kilogram minyak masak terpakai boleh ditukar kepada mata ganjaran bernilai sekitar RM2.

"Jika dikumpulkan sehingga 1,240 mata ganjaran (50 kg), nilai itu boleh ditukarkan kepada sewa bulanan bernilai RM124," katanya.

PROGRAM 1C1R mula diperkenalkan sejak Oktober tahun lalu.
PROGRAM 1C1R mula diperkenalkan sejak Oktober tahun lalu.

Menurutnya, inisiatif rintis yang mula dilaksanakan di lima PPR sejak Oktober tahun lalu dilihat langkah positif untuk meringankan beban warga kota serta kaedah alternatif kepada penyewa PPR DBKL terutama golongan B40.

"Langkah ini akan dapat menjadi alternatif buat penghuni yang tak mampu membayar sewa sekali gus mengurangkan jumlah mereka yang mempunyai tunggakan. Walaupun sewa hanyalah RM124, ada yang tak mampu dan punya kekangan untuk membayarnya," katanya.

Mahadi berkata, projek rintis menawarkan pertukaran barangan kitar semula kepada barangan keperluan asas seperti minyak masak dan tepung dijalankan di PPR Seri Alam, PPR Beringin dan PPR Seksyen 2 Wangsa Maju manakala pertukaran kepada pembayaran sewa rumah PPR dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Sosio Ekonomi dan Alam Sekitar di PPR Pekan Kepong dan PPR Wangsa Sari.

Waspada individu dakwa dilantik DBKL kutip sewa tertunggak

Waspada terhadap individu atau ejen syarikat yang mendakwa dilantik Dewan bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL) bagi mengutip sewa tertunggak kediaman didiami.

Itu nasihat Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL terhadap 21,000 penyewa yang mempunyai tunggakan bayaran sewa mendiami Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) DBKL.

Menurutnya, semua bayaran bil air dan sewa kediaman PA dan PPR perlu dibayar di kaunter-kaunter bayaran DBKL.

"Penghuni juga boleh membayar secara atas talian melalui JomPAY di Perbankan Internet dan Telefon Mudah Alih.

"Lokasi dan waktu operasi Kaunter DBKL boleh dirujuk di portal DBKL www.dbkl.gov.my," katanya.

Menurutnya kenyataan itu, DBKL tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat bagi mengutip bayaran sewa rumah dan bil air di PA dan PPR DBKL.

"Penyewa diminta membuat aduan ke DBKL di adu@kl sekiranya terdapat individu, ejen atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan bagi mengutip hasil itu.

"DBKL tidak akan bertanggungjawab ke atas kegagalan penerimaan bayaran hasil sewa dan bil air yang dibuat melalui mana-mana individu tidak bertauliah ini," katanya.

LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam. FOTO Arkib NSTP

Harian Metro semalam mendedahkan kurang 50 peratus atau hanya 17,000 daripada 38,000 penyewa di 65 kediaman PA dan PPR bawah seliaan DBKL komited membayar sewa bulanan mengikut jadual ditetapkan.

Manakala, baki 21,000 penyewa lagi mempunyai tunggakan sewa 17 peratus pada kadar tunggakan lebih RM10,000, 60 peratus pada kadar tunggakan RM1,000 hingga RM10,000 manakala baki 23 peratus mempunyai kurang RM1,000.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memaklumkan pihaknya mempunyai pelan pemulihan bagi isu tunggakan sewa.

Katanya, pasukan khas diwujudkan bagi mengenal pasti unit rumah yang mempunyai banyak tunggakan sewa malah turut mengadakan sesi bersemuka bersama penyewa terbabit atau mengunjungi kediaman mereka bagi mendapatkan maklumat berkaitan punca tidak membayar sewa serta memberi peringatan dan kesedaran tanggungjawab menjelaskannya.

Bagaimanapun Mahadi berkata, DBKL cuba bertolak ansur malah tidak menghalau penyewa terbabit secara drastik kerana enggan mereka kehilangan tempat berteduh.

"Berdasarkan rekod, jumlah tunggakan sewa di PA/PPR DBKL pada tahun 2018 berjumlah RM58.5 juta, 2019 (tunggakan RM48.6 juta) dan terus menurun pada angka RM46.6 juta pada tahun 2020 dan RM47.6 juta tahun lalu.

"Tunggakan sewa meningkat semula sebanyak empat peratus pada suku pertama tahun ini dengan jumlah RM50.7 juta," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:34 PM