RUMAH PPR menjadi idaman golongan berpendapatan rendah ekoran kadar sewa yang berpatutan.
RUMAH PPR menjadi idaman golongan berpendapatan rendah ekoran kadar sewa yang berpatutan.
Oleh Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Ramai yang menunggu giliran untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun masih tiada rezeki sehingga kini.

Bagi Nor Azura Md Rosdi, 34, dia sudah memohon dan menunggu untuk memiliki rumah PPR selama 11 tahun namun permohonannya masih belum diluluskan.

"Saya memohon PPR DBKL ini seusia anak sulung saya yang kini sudah berusia 11 tahun. Namun, masih belum ada 'sinar' daripada DBKL.

"Suami dan saya sudah menghantar empat surat rayuan namun status permohonan kami tetap masih dalam senarai menunggu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nor Azura, jawapan diberi pegawai yang menguruskan perkara itu tetap sama.

"Pegawai berkaitan memaklumkan yang kami perlu menunggu giliran dan sentiasa mengemas kini status permohonan, semua itu kami sudah laksanakan," katanya.

Sementara menunggu giliran dipanggil, Nor Azura dan suami menyewa rumah kos sederhana di Sungai Besi pada kadar RM700 sebulan.

Tambahnya, dia suri rumah sepenuh masa dan pendapatan kasar suaminya yang bekerja dalam bidang perhotelan ialah RM2,700 sebulan.

"Dengan kadar sewa rumah yang tinggi, saya perlu menjana hasil sampingan dengan menjual sambal ikan bilis garing dan kuih sejuk beku. Ia digunakan bagi menampung kos perbelanjaan dapur dan keperluan untuk anak-anak.

"Dua anak akan mula bersekolah tahun depan selain seorang lagi perlu dihantar ke Taska. Kerana itu kami perlu berusaha menambah pendapatan.

"Jika menerima PPR DBKL, ia pasti mengurangkan beban kerana kadar sewanya berpatutan manakala wang lebihan boleh digunakan untuk perbelanjaan lain seperti untuk anak-anak," katanya.

Menurutnya, dia melepasi semua syarat yang dinyatakan ketika permohonan PPR, lebih-lebih lagi dia juga dalam kalangan B40.

"Saya sentiasa berdoa dan berharap permohonan kami diluluskan," katanya.

Seorang lagi pemohon, Nor Fareza Razali, 31, berkata, dia sudah memohon rumah PPR DBKL lebih daripada lima tahun, malah pernah ditemu bual pihak berkaitan namun masih tiada rezeki buatnya hingga kini.

"Saya memohon rumah ini sejak belum dikurniakan anak hinggalah kini saya sudah dikurniakan dua anak, dengan yang sulung berusia lima tahun.

"Sepanjang tempoh permohonan, banyak kali saya cuba buat permohonan semula namun hingga kini, masih belum diluluskan," katanya.

"Saya berharap pemohon seperti kami yang sudah lama menunggu selain berpendapatan rendah, dapat memiliki PPR ini," katanya lagi.

DBKL bina 3,133 Rumah Majlis, Residensi Wilayah

Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina 3,133 unit Rumah Majlis untuk disewakan selain Rumah Mampu Milik yang dikenali sebagai Residensi Wilayah untuk jualan.

Pelaksanaan ini adalah inisiatif bagi menampung kekurangan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan memenuhi keperluan perumahan warga kota.

Jabatan Perancangan Korporat DBKL melaporkan status permohonan yang masih menunggu rumah PPR mengambil masa kerana permohonan yang diterima oleh pihaknya ketika ini sangat tinggi, namun penawaran yang dapat dibuat pula adalah terhad.

"Pemohon perlu sentiasa mengemaskini maklumat peribadi dalam sistem ePerumahan setiap tahun bagi memastikan permohonan mereka sentiasa aktif untuk dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Peruntukan Rumah Awam," katanya pada kenyataan.

DBKL juga menggalakkan pemohon menerima tawaran unit kosong yang sedia diduduki tanpa meletakkan syarat-syarat tertentu seperti tingkat yang lebih rendah, memiliki lokasi yang berdekatan tempat kerja dan kemudahan awam.

Katanya, penduduk yang sudah menetap di rumah PPR perlulah memastikan mereka menjaga kediaman itu dengan sebaiknya.

"Bagi penduduk yang mendiami PPR, jadilah penyewa yang berhemah dengan menjaga kemudahan yang disediakan dan tidak culas membayar sewa unit kerana masih ramai di luar sana menunggu panggilan masuk ke PPR," katanya.

Sementara itu, DBKL juga membangkitkan isu menyewakan unit kediaman PPR kepada warga asing.

"Jumlah kes diterima meningkat malah penyewa tempatan ini seolah-olah tidak rasa bersalah meningkatkan harga sewa bulanan kepada warga asing.

"Penyewa yang disyaki menyewakan unitnya kepada orang lain akan diambil tindakan penguatkuasaan dan kami akan menamatkan perjanjian penyewaan," katanya.

DBKL juga sentiasa membuat pemantauan bancian berkala bagi mengelakkan kegiatan itu berleluasa.

"Kebiasaannya, pemantauan akan dilakukan setiap tiga bulan sekali, tetapi jika disyaki ada salah laku, kami akan melakukannya dengan lebih kerap," katanya.

PELBAGAI kemudahan asas disediakan DBKL di PPR meringankan urusan harian penduduk.
PELBAGAI kemudahan asas disediakan DBKL di PPR meringankan urusan harian penduduk.

Syukur bayar RM124 sebulan

Penduduk rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluah rasa puas hati apabila dapat memiliki unit itu, sekali gus meringankan beban mereka.

Penduduk, Norsiah Jamali, 44, berkata, dia berpuas hati selama 14 tahun menetap di Flat PPR Pantai Ria, Lembah Pantai dekat sini, disebabkan ciri kemudahan asas disediakan DBKL.

"Saya bersyukur dengan kemudahan asas yang disediakan oleh DBKL sepanjang menetap di sini termasuk lif, surau, dewan komuniti, gerai makan, taman permainan dan parkir kenderaan.

"Tadika juga disediakan bagi memudahkan penduduk di sini menghantar anak-anak menerima pendidikan awal," katanya.

Menurut Norsiah, dia hanya membayar RM124 sebulan untuk unit kediaman berkenaan.

"Saya memiliki enam anak dan seorang menantu. Semuanya tinggal bersama saya namun mereka tidak pernah mengadu ruang rumah sempit dan sebagainya," katanya.

Kata Norsiah, sepanjang menetap di PPR itu, hubungan dengan jiran juga baik.

"Kedua-dua jiran saya berbangsa India dan kami tidak pernah bermasam muka, malah sering mengamalkan konsep tolong-menolong.

"Jika hujan melanda ketika mereka tiada di rumah, saya tidak kisah mengangkat jemurannya kerana bagi saya, kami sudah seperti adik-beradik," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosnani Ismail, 61, sudah menetap di PPR itu sejak 13 tahun lalu bersama suami dan anak-anak mereka.

"Sepanjang menetap di sini, saya melihat banyak fasiliti yang disediakan serta dinaik taraf oleh DBKL demi memastikan kesejahteraan penduduk," katanya.

Katanya lagi, perluasan kawasan parkir yang dilaksanakan sekitar 2018 juga memudahkan penduduk memarkir kenderaan.

"Pelaksanaan ruang parkir oleh DBKL itu membantu menampung jumlah kenderaan yang bertambah," katanya.

Pada masa sama, katanya, lokasi PPR yang strategik juga memudahkan dia sekeluarga untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain atau menghantar cucu ke sekolah.

"Pada usia saya ini, kemudahan stesen komuter dan bas percuma di kawasan perumahan ini membantu saya untuk pergi membeli barangan keperluan harian dengan lebih mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:01 PM