SALLEH Abdul (dua dari kiri) bersama Ismadi Sakirin (kanan) dan wakil penduduk mendengar penerangan dari Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
SALLEH Abdul (dua dari kiri) bersama Ismadi Sakirin (kanan) dan wakil penduduk mendengar penerangan dari Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tamak dan mahu mengaut keuntungan mudah membuatkan ada segelintir penyewa sanggup menyewakan kediaman mereka di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) kepada individu lain termasuk warga asing.

Difahamkan, penyewa terbabit menyewakan unit kediaman yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kadar sewa antara RM600 sehingga RM1,200 sebulan.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin berkata, ia berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya hasil daripada aduan awam dan pemeriksaan dijalankan secara berkala.

Beliau berkata, DBKL mengesan wujud penyewa rumah asal menyewakan unit kediaman mereka kepada individu lain.

"Kadar sewa dikenakan DBKL sangat rendah iaitu antara RM96 hingga RM124 tapi penyewa asal menyewakan semula kediaman mereka pada kadar lebih tinggi sehingga mencecah RM1,200 bergantung kepada kawasan.

"Semasa menjalankan pemeriksaan, kita dapati rumah dihuni orang lain dan penama berikan alasan bagi kepada adik-beradik atau ibu mentua tinggal.

"Ada juga yang pulang ke kampung dan beri kepada ahli keluarga lain tinggal di rumah itu, dan tindakan itu jelas melanggar syarat ditetapkan.

"Apabila kita (DBKL) mengesannya, penama atau penyewa terbabit perlu mengemukakan justifikasi kepada pihak DBKL dalam tempoh tiga bulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Task Force Op Sri PA di Flat Sri Sabah, Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata, DBKL masih mempunyai budi bicara dalam isu terbabit dengan melihat justifikasi diberikan penama terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

"Kita akan lihat alasan diberikan, jika tidak munasabah DBKL boleh buat pengusiran atau tamatkan sewaan.

"Tapi jika disewakan kepada warga asing memang kita akan ambil tindakan mandatori tamatkan sewaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di 64 kawasan PPR serta PA milik DBKL bagi memastikan tiada penyewa mengambil kesempatan.

Bagaimanapun, kata beliau, DBKL amat mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:49 PM