PENGADIL melihat rakaman VAR ketika perlawanan antara KL City FC dan NSFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin lalu. FOTO FB MFL
PENGADIL melihat rakaman VAR ketika perlawanan antara KL City FC dan NSFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin lalu. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) disambut baik rata-rata pemain dalam saingan Liga Super dalam usaha mengelak sebarang keputusan kontroversi.

Antara pemain teruja adalah kapten Negeri Sembilan FC (NSFC), Nasrullah Hanif yang menyifatkan ia sebagai satu langkah untuk meningkatkan kualiti permainan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ujarnya, teknologi VAR dapat meningkatkan mutu pengadilan disamping mendedahkan pemain negara dengan sistem itu yang sudah digunakan secara meluas di luar negara.

"Saya harap mutu pengadilan untuk musim ini akan bertambah baik dengan bantuan VAR ini," katanya selepas aksi merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.

Dalam aksi itu, NSFC tewas 1-2 kepada KL City apabila VAR digunakan buat pertama kalinya dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung itu bagi menguji keberkesanan sebelum sepak mula Liga Super pada 10 Mei ini.

Beberapa keputusan pengadil pada perlawanan itu menyaksikan teknologi VAR diaplikasikan dengan pemain pertama dilayangkan kad merah adalah tonggak tengah KL City, Brendan Gan.

Meskipun tewas tipis dalam perlawanan itu, Nasrullah menyifatkan pasukannya semakin bertambah baik untuk memulakan musim baharu nanti.

Jelasnya, dia dan rakan sepasukan berada dalam motivasi terbaik selain merasakan NSFC akan bertambah baik berbanding musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:40 PM