MAYAT anggota bomba yang lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin ditemui selepas 19 jam operasi SAR dilaksanakan. FOTO Nur Izzati Mohamad
MAYAT anggota bomba yang lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin ditemui selepas 19 jam operasi SAR dilaksanakan. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Mayat anggota bomba yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, di sini, ditemui selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.

Jasad Allahyarham Mohd Izwan Illias, 42, ditemui kira-kira jam 5.30 petang di lokasi terakhir dia dilaporkan terjatuh dalam radius 20 meter (m).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penemuan itu susulan tindakan mengecilkan skop pencarian hasil petunjuk anjing pengesan K9.

"Di peringkat awal dua anjing pengesan K9 menunjukkan tanda (keberadaan mangsa) dalam radius 50m dari lokasi (mangsa) terjatuh.

"Berdasarkan dapatan itu selain membaca pergerakan arus (sungai) dalam operasi (pagi tadi) kita mengecilkan skop pencarian satu kilometer (km) hilir ke 500m hulu kepada radius 100m hulu ke 300m hilir.

"Akhirnya (selepas 19 jam operasi SAR) salah seorang pasukan penyelamat menemui jasad (mangsa) dan pengesahan dibuat sebelum menaikkan (mayat)," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

"Kita merakamkan ucapan takziah kepada pihak keluarga dan berterima kasih untuk semua petugas yang terbabit dalam operasi ini," katanya.

Nor Hisham berkata, pihaknya mengklasifikasikan Mohd Izwan terkorban ketika menjalankan tugasnya dan satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan diadakan sebagai tanda menghargai komitmen Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan JBPM.

"Dalam operasi (SAR) ini, ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar iaitu bagaimana semangat setiakawan yang kukuh dan bagaimana perasaan mak ayah yang tenang di peringkat awal dan hujung menerima kenyataan bahawa anaknya yang seorang anggota bomba tidak dapat lari dari risiko luar jangka.

"Kini tindakan seterusnya yang paling penting adalah melihat soal kebajikan balu dan lima anak arwah yang ditinggalkan yang kita akan koordinasi dengan Kerajaan Pulau Pinang dan melihat dalam payung kebajikan bomba," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman, 77, berkata, dia bersyukur jasad anak ketiganya itu ditemui dan reda atas kehilangan yang amat perit.

"Namun begitu, kami sekeluarga reda dan tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana sudah menjadi takdir untuk anak pakcik kembali ke sisi Pencipta.

"Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus mencari anak pakcik," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota bomba dikhuatiri lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 8:29 PM