HISHAM semasa sidang media  pada Program Penyampaian Anugerah perkhimatan cemerlang kepada pegawai bomba. FOTO Ghazali Kori
HISHAM semasa sidang media pada Program Penyampaian Anugerah perkhimatan cemerlang kepada pegawai bomba. FOTO Ghazali Kori
Nazdy Harun


Kuala Nerus: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kes kematian Allahyarham Mohd Izwan Illias, 42, ketika menguji enjin bot kevlar di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di Pulau Pinang.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, punca kematian yang diperoleh daripada pihak forensik diklasifikasikan sebagai lemas.

Menurutnya, JBPM akan menubuhkan jawatankuasa khas mengenai insiden berkenaan yang dijangka mengambil masa selama dua minggu untuk mengenal pasti punca kejadian dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, pihaknya akan meneliti pelbagai aspek dalam siasatan berkenaan dan menilai situasi ketika kejadian itu berlaku supaya langkah selanjutnya boleh diambil untuk penambahbaikan dalam tugasan selepas ini.

"Termasuk semua aspek keselamatan semasa menjalankan tugas, termasuk menyelamat diri peringkat awal sebelum lemas dan sebagainya akan diambil kira.

"Difahamkan arwah hendak meletakkan bot di kawasan parkir sebelum lemas," katanya ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 Dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mohd Izwan yang mempunyai kepakaran membaiki dan mengendali bot selama 13 tahun lemas ketika mengendalikan bot di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin.

Arwah bertugas bersama JBPM sejak 2005 iaitu tujuh tahun di Akademi Wilayah Tengah, manakala hampir 13 tahun di JBPM Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 2:54 PM